KPDN tambah baik mekanisme pelaksanaan SKDS

KUNDASANG: Kerajaan komited untuk meneruskan penyaluran subsidi bahan api, walaupun berdepan konflik Asia Barat yang membawa krisis tenaga dan bekalan global khususnya lonjakan harga minyak global. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyaluran subsidi bahan api secara bersasar ini telah meningkatkan implikasi kewangan yang perlu diperuntukkan oleh Kerajaan.  

Sebagai contoh, katanya subsidi bahan api petrol dan diesel yang ditanggung Kerajaan sebelum tercetusnya konflik ialah RM1.29 bilion bagi bulan Januari dan RM1.20 bilion bagi bulan Februari 2026. 

“Manakala, sejak bermulanya konflik pada 28 Februari 2026, implikasi subsidi petrol dan diesel telah mencecah RM5.67 bilion bagi bulan Mac, iaitu peningkatan sebanyak lebih 370 peratus berbanding bulan sebelumnya. 

“Jumlah ini tidak termasuk subsidi bahan api lain dan Kerajaan akan terus menanggung lonjakan bil subsidi bahan api ini selagi mana harga minyak dunia masih pada tahap yang tinggi dan krisis tenaga berlarutan,” katanya pada sidang media, disini hari ini. 

Sidang media itu turut dihadiri Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam dan Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidan.

Armizan berkata, kerajaan sedang melaksanakan strategi penampan, mitigasi dan intervensi secara bersasar menerusi pelbagai kementerian dan agensi bagi menangani kesan krisis tenaga serta bekalan global terhadap rakyat.

Katanya, di bawah kawal selia KPDN, langkah segera diputuskan ialah meneruskan penyaluran subsidi petrol dan diesel melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan  Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). 

Menurutnya, sehingga 20 Mei lalu, sebanyak 179,716 syarikat melibatkan 432,495 kenderaan sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan dan pengangkutan awam air mendapat manfaat subsidi petrol dan diesel.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 19,189 syarikat dengan 38,817 kenderaan menerima manfaat SKPS manakala 160,527 syarikat membabitkan 393,678 kenderaan menerima manfaat SKDS,” katanya.  

Armizan berkata, antara penambahbaikan utama diputuskan Jemaah Menteri pada 20 Mei lalu ialah peluasan kelayakan kenderaan jenis jip dan pikap di bawah SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan ke seluruh negara berbanding hanya di Cameron Highlands sebelum ini.

Katanya, syarikat sektor pengangkutan darat barangan yang memiliki kenderaan jip dan pikap boleh membuat pendaftaran SKDS mulai 1 Jun depan.  

Beliau berkata, kerajaan juga memperluaskan manfaat subsidi diesel kepada kenderaan jip dan pikap yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu bagi tujuan pengangkutan darat barangan.

Menurutnya, kelulusan diberi tertakluk kepada pertukaran pendaftaran kenderaan atas nama syarikat serta pematuhan syarat ditetapkan termasuk pendaftaran syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau pihak berkuasa berkaitan di Sabah dan Sarawak.  

Dalam pada itu, kerajaan turut melaksanakan pelarasan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan untuk memperkukuh mekanisme kawal selia dan penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan subsidi serta penyalahgunaan fleet card.

Katanya, setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan bergantung kepada 23 jenis kenderaan pengangkutan darat barangan yang ditetapkan.

“Pelarasan kadar kuota tetap bagi setiap fleet card berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026,” katanya.  

Beliau berkata, syarikat yang memerlukan penggunaan diesel melebihi had ditetapkan boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP) yang diurus setiakan KPDN.

Katanya, rayuan boleh dibuat secara dalam talian melalui e-mel mysubsidi@kpdn.gov.my atau di kaunter KPDN berhampiran dengan pertimbangan berdasarkan justifikasi operasi dan rekod penggunaan bulanan sedia ada dalam sistem SKDS.  

Armizan turut menggalakkan syarikat sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan dan pengangkutan awam air yang belum menikmati subsidi petrol dan diesel supaya segera membuat pendaftaran SKPS dan SKDS menerusi portal MySubsidi.  

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua syarikat berdaftar supaya bertanggungjawab terhadap penggunaan fleet card yang diperoleh daripada syarikat minyak.

Katanya, sebarang penyalahgunaan akan menyebabkan fleet card digantung serta-merta selain syarikat terbabit disenarai hitam.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles