KPDN pastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan Kaamatan, Gawai tahun ini

KUNDASANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pemain industri bagi memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan Kaamatan, Gawai tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup , Datuk Armizan Mohd Ali berkata demikian semasa mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 bermula 27 Mei hingga 4 Jun ini.

Beliau berkata, skim selama sembilan hari itu membabitkan 17 jenis barangan terkawal meliputi 12 jenis barangan di Sabah dan Sarawak serta 11 jenis barangan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, pelaksanaan skim berkenaan mengambil kira kepentingan pengguna dan komuniti peniaga supaya pengguna menikmati harga berpatutan manakala peniaga tidak terbeban dengan tempoh pelaksanaan terlalu lama.

“Bagi SHMMP Pesta Kaamatan 2026 di Sabah, kementerian mengenal pasti 12 jenis barangan berbanding 10 barangan pada tahun lalu.

“Dua barangan baharu yang dimasukkan ialah halia tua import dan ubi kentang dari China,” katanya pada sidang media sempena pengumuman SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti yang juga ADUN Kundasang Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yassin.

Katanya, bagi sambutan Hari Gawai di Sarawak pula, sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 11 barangan pada tahun lalu dengan tambahan satu barangan baharu iaitu daging kerbau import dari India.

Bagi Sabah, antara barangan yang dikawal ialah babi hidup, daging babi, daging kerbau import, kepak ayam, cili kering keriting, bawang, halia tua import dan ubi kentang dari China.

Di WP Labuan pula, 11 jenis barangan disenaraikan termasuk daging babi, kepak ayam, cili kering keriting, bawang, halia tua import dan ubi kentang.

Mengulas trend harga semasa, beliau berkata, pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan tahun ini menunjukkan keadaan harga lebih stabil di Sabah dan WP Labuan.

Katanya, di Sabah sebanyak enam barangan mencatat penurunan harga manakala tiga lagi kekal pada harga sama selain pengenalan dua barangan baharu.

“Trend hampir sama turut direkodkan di WP Labuan apabila enam barangan mengalami penurunan harga dan dua lagi kekal,” katanya.

Bagi Hari Gawai di Sarawak, antara barangan terlibat ialah ayam tua hidup, kubis bulat import, kelapa biji, kelapa parut dan santan selain beberapa barangan keperluan lain.

Armizan berkata, analisis perbandingan harga bagi sambutan Hari Gawai tahun ini menunjukkan lima barangan mengalami penurunan harga, tiga kekal dan satu barangan baharu diperkenalkan.

Katanya, skim itu dikuatkuasakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi membolehkan penentuan harga maksimum dibuat terhadap barangan disenaraikan.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah bagi memantau pematuhan harga.

“Kita juga melaksanakan penguatkuasaan secara berhemah melalui pendidikan, nasihat dan amaran supaya peniaga mematuhi undang-undang serta mengamalkan perniagaan beretika,” katanya.

Menurutnya, peniaga diwajibkan menggunakan label merah jambu bagi barangan harga terkawal sepanjang tempoh pelaksanaan skim.

Katanya, individu yang menjual barangan melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu pula, individu boleh didenda sehingga RM10,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000.

Selain SHMMP, katanya, KPDN turut melaksanakan beberapa inisiatif di bawah Payung RAHMAH termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles