KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyeru semua ADUN sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang supaya bersatu hati memperjuangkan hak 40 peratus hasil Sabah demi memastikan masa depan negeri ini lebih baik untuk rakyat.
Menurut beliau, tuntutan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai isu politik semata-mata, sebaliknya sebagai agenda bersama yang melibatkan maruah, pembangunan dan kesejahteraan Sabah secara keseluruhan.
Ketika membahaskan Ucapan Dasar Kerajaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, beliau berkata pelbagai cabaran yang dihadapi Sabah ketika ini termasuk kelewatan pembangunan, kekurangan peluang pekerjaan, kelemahan infrastruktur dan isu keterjaminan makanan berpunca daripada kedudukan kewangan negeri yang terhad.
“Segala isu yang saya bangkitkan ini, pelaburan, logistik dan bekalan makanan, semuanya kembali kepada satu punca utama iaitu wang.
“Persoalannya, sampai bila Sabah harus terus bergantung dan mengharapkan ihsan daripada pihak lain untuk membangunkan negeri sendiri,” katanya pada persidangan DUN di sini, Isnin.
Madius berkata Sabah sebenarnya memiliki potensi besar untuk maju, namun kelemahan pelaksanaan dan kebergantungan berterusan kepada kerajaan Persekutuan menyebabkan banyak projek penting tidak dapat dilaksanakan mengikut keperluan rakyat.
Beliau memberi contoh pembangunan di POIC Lahad Datu yang masih berdepan masalah asas seperti kekurangan bekalan air terawat, kelemahan logistik serta kelewatan projek akibat proses pembiayaan yang panjang.
Menurutnya, kelewatan kelulusan pembiayaan bagi menaik taraf kemudahan barge di kawasan itu menyebabkan kos projek meningkat hampir dua kali ganda daripada RM8 juta kepada RM16 juta.
Katanya, keadaan itu membuktikan bagaimana kelewatan birokrasi dan pergantungan kepada pinjaman kerajaan pusat boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta merencatkan pembangunan negeri.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan isu keterjaminan makanan apabila Sabah ketika ini hanya mampu menghasilkan kira-kira 20 peratus daripada keperluan beras sendiri.
Beliau berkata keadaan itu menunjukkan Sabah perlu mempunyai sumber kewangan yang lebih kukuh supaya negeri dapat melaksanakan dasar pembangunan pertanian dan makanan dengan lebih berkesan.
“Jika hak 40 peratus ini dikembalikan seperti yang diperintahkan mahkamah, di situlah letaknya maruah dan kekuatan kewangan Sabah.
“Dengan hak itu, Sabah boleh membina, Sabah boleh memimpin dan Sabah boleh berdiri sendiri tanpa perlu lagi menadah tangan,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu perubahan dan kini mahukan tindakan nyata daripada semua pemimpin tanpa mengira fahaman politik.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua wakil rakyat di Sabah supaya mengenepikan perbezaan politik dan tampil sebagai satu pasukan dalam menuntut hak negeri demi masa depan Sabah yang lebih maju, makmur dan sejahtera.
