UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh agenda kelestarian kampus menerusi penganjuran Program Tanam Pokok @ Fakulti Kejuruteraan (FKJ) yang berlangsung di sini pada Rabu.


Program yang bertempat di bilik Smart Classroom tersebut dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.


Menurut Kasim, penganjuran program berkenaan bertepatan dengan sambutan Hari Bumi sebagai simbol komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar.


“Program ini mencerminkan kesungguhan UMS dalam memperkukuh agenda kelestarian kampus selaras dengan visi universiti sebagai The Brain of Borneo.


“Inisiatif ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek tindakan terhadap perubahan iklim dan pemeliharaan alam sekitar,” ujarnya.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly.


Tambah Kasim, penanaman pokok bukan sekadar aktiviti simbolik, sebaliknya merupakan tindakan nyata yang memberi impak jangka panjang kepada keseimbangan ekosistem.


“Penanaman pokok menyumbang kepada pengurangan karbon dioksida, meningkatkan kualiti udara serta mewujudkan persekitaran kampus yang lebih sihat dan kondusif,” katanya.


Sementara itu, Dekan FKJ, Profesor Madya Ir. Dr. Abu Zahrim Yaser berkata, program tersebut merupakan inisiatif fakulti di bawah KRA 9: Green Campus.


“Program ini dilaksanakan melalui Dana Student Tree Planting di bawah Pusat Strategik UMS yang menekankan penglibatan aktif pelajar dalam usaha penghijauan kampus.


“Ia bertujuan menggalakkan penglibatan pelajar dalam usaha penghijauan kampus serta menjadikan amalan lestari sebagai budaya warga universiti.


“Aktiviti penanaman pokok telah dilaksanakan lebih awal pada 10 Januari lalu melibatkan 27 pelajar dengan penanaman 15 pokok buah-buahan di sekitar fakulti.


Tambah beliau, fakulti turut melaksanakan inisiatif sokongan termasuk pembangunan sistem pengkomposan dan penyelidikan berkaitan pengurusan sisa pepejal.


Related Articles

253FansLike

Latest Articles