KOTA BELUD: Gundohing Jack Giau, Presiden Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN), berkata walaupun pihaknya menghormati hasrat Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bertanding di Sabah, namun tindakan tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh sensitiviti politik dan kedaulatan politik negeri Sabah.
Beliau berkata PERPADUAN memandang serius perkembangan itu susulan hasrat GPS tersebut tular di media sosial dan menerima gelombang penolakan yang jelas daripada rakyat Sabah.
Reaksi tersebut bukan bersifat terpencil, tetapi mencerminkan suara hati majoriti rakyat yang menolak sebarang bentuk peluasan pengaruh politik luar ke Sabah, katanya.
“Hasrat untuk melebarkan pengaruh ke Sabah dilihat bukan sekadar langkah politik biasa, tetapi berpotensi mencetuskan persepsi bahawa Sabah sekali lagi dijadikan medan percaturan kuasa oleh pihak luar.
“Sabah merupakan negeri yang mempunyai jumlah parti politik yang banyak. Keadaan ini telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jack berkata kehadiran parti luar seperti GPS hanya akan menambah kekusutan, malah berisiko mencetuskan tanggapan bahawa Sabah sekali lagi menjadi ‘medan perluasan kuasa’ seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Sehubungan itu, katanya, PERPADUAN berpandangan bahawa GPS seharusnya memberi fokus kepada pengukuhan kedudukan politik di Sarawak, selaras dengan semangat memperkukuh autonomi wilayah masing-masing.
“PERPADUAN menegaskan bahawa fenomena lambakan parti dan persaingan tidak sihat di Sabah hari ini berpunca daripada kerakusan kuasa serta campur tangan luar yang berlebihan.
“Kehadiran GPS ke Sabah tetap akan dilihat sebagai satu lagi bentuk peluasan pengaruh politik luar.
“Jika keadaan ini berterusan, ia bukan sahaja menjejaskan persepsi terhadap parti luar, malah boleh memberi kesan kepada imej kerajaan negeri sedia ada termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya..
I
