KOTA KINABALU: Delegasi akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) tampil memartabatkan kajian bahasa etnik Borneo apabila turut serta dalam Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu XII (SALPBM XII) yang berlangsung pada 15 hingga 16 April di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Delegasi tersebut diketuai oleh Prof Madya Dr. Jane Wong Kon Ling dan Dr. Mohd Juhar Harun, bersama 10 pelajar pascasiswazah dari Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), UMS. Kesemua mereka membentangkan penyelidikan berfokuskan linguistik etnik Sabah, khususnya berkaitan isu kelestarian bahasa ibunda dan ancaman kepupusan bahasa tempatan.
Antara topik yang diketengahkan termasuk penggunaan bahasa etnik dalam kalangan generasi muda, dinamika sosiolinguistik perkahwinan campur, vitaliti bahasa Kadazan Dusun, Bajau, Murut dan lain-lain, serta pewarisan bahasa dalam keluarga campuran. Kajian-kajian ini menekankan bahawa bahasa ibunda merupakan aset budaya yang berdepan tekanan globalisasi, urbanisasi dan dominasi bahasa majoriti.
Prof Madya Dr. Jane Wong berkata penyertaan UMS di SALPBM XII merupakan usaha strategik untuk mengangkat bahasa ibunda sebagai teras ilmu, identiti dan peradaban bangsa.
“Bahasa ibunda adalah nadi warisan yang membentuk jati diri masyarakat. Melalui platform antarabangsa seperti SALPBM, kita dapat memperkaya khazanah ilmu dan membina jaringan kolaborasi yang lebih luas,” katanya.
Dr. Mohd Juhar pula menegaskan komitmen UMS terhadap kelestarian bahasa etnik Sabah melalui penglibatan aktif para pelajar pascasiswazah BorIIS.
“Kajian bahasa ibunda bukan sekadar dokumentasi lingustik, tetapi usaha memastikan warisan budaya terus hidup. Kehadiran pelajar di pentas antarabangsa membuktikan kesediaan mereka memikul tanggungjawab akademik dan budaya,” katanya.
Seminar turut menampilkan ucaptama oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Maijol Mahap, yang menekankan keperluan memperkasa bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai asas penyatuan dan pembangunan masyarakat.
Ucaptama kedua disampaikan oleh Prof. Datuk TS. Dr. Ramzah Dambul, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah), yang menyorot peranan strategik bahasa dalam dasar dan identiti serantau.
Pelajar pascasiswazah BorIIS turut menyumbang dapatan penting, antaranya Johan Severinus Tati yang membentangkan kajian mengenai bahasa Tatana.
“Bahasa Tatana berdepan cabaran besar jika tidak dipertahankan secara sistematik. Ia bukan sekadar alat komunikasi, tetapi akar identiti,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Helena Sangau, menekankan cabaran pewarisan bahasa dalam keluarga campuran Dusun-Murut.
“Dominasi bahasa majoriti sering menyebabkan bahasa ibunda terhakis. Sokongan dasar pendidikan dan kesedaran keluarga amat penting,” jelasnya.
Untuk rekod, SALPBM XII yang dianjurkan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, menghimpunkan sarjana dari dalam dan luar negara untuk membincangkan masa depan bahasa Melayu dan bahasa ibunda dalam era digital.
