TAWAU:Sabah memerlukan sekurang-kurangnya 150,000 tan metrik stok beras sebagai simpanan keselamatan makanan, namun paras semasa dilihat masih belum mencukupi, sekali gus menguatkan cadangan supaya negeri itu diberi autonomi dalam pengurusan kuota import.
Aktivis masyarakat, Mohd Zaki Harry Susanto berkata, keperluan sebenar beras negeri perlu dikira berdasarkan jumlah populasi bagi memastikan perancangan lebih tepat dan realistik.
Menurutnya, dengan anggaran populasi Sabah sekitar 3.76 juta penduduk, penggunaan beras dianggarkan 80 kilogram per kapita setahun, menjadikan jumlah keperluan tahunan mencecah kira-kira 300,000 tan metrik.
“Ini bermakna keperluan bulanan Sabah sekitar 25,000 tan metrik. Untuk menjamin keselamatan makanan, stok penimbal sekurang-kurangnya enam bulan perlu disimpan di gudang, iaitu sekitar 150,000 tan metrik.
“Jika berlaku krisis seperti peperangan atau negara pengeksport menghentikan bekalan, Sabah masih mampu bertahan sehingga enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, pengiraan stok keselamatan hanya melibatkan beras putih asas, termasuk beras tempatan dan import kategori 5 peratus hancur (5% broken), dan tidak termasuk beras premium seperti basmati, pulut atau beras wangi.
Dalam masa yang sama, Zaki menegaskan, stok beras yang berada di pasaran seperti di pasar raya, restoran, kedai runcit atau gudang pemborong tidak boleh dikira sebagai stok penimbal negeri. Katanya, stok keselamatan sebenar ialah beras yang masih berada di gudang simpanan pusat di bawah kawal selia Padiberas Nasional Berhad.
“Apabila beras dijual kepada pemborong, stok itu dianggap sudah keluar daripada sistem simpanan dan mesti diganti semula sama ada melalui pengeluaran tempatan atau import,” katanya.
Menurutnya lagi, Sabah ketika ini masih bergantung tinggi kepada bekalan luar apabila tahap sara diri (SSL) beras negeri hanya sekitar 19 peratus, manakala baki 81 peratus perlu diimport. Keadaan itu jauh berbeza dengan Semenanjung Malaysia yang mempunyai tahap SSL sekitar 60 peratus, sekali gus lebih berdaya tahan dalam menghadapi gangguan bekalan.
“Dengan kebergantungan import yang tinggi, Sabah sangat terdedah kepada faktor luaran seperti sekatan eksport, kenaikan harga dan ketidaktentuan geopolitik,” katanya.
Beliau juga berkata, penguasaan kuota import oleh Padiberas Nasional Berhad menyebabkan Sabah kurang fleksibel untuk bertindak pantas ketika berdepan krisis bekalan. Antara kesan utama kebergantungan itu termasuk kelewatan kelulusan import, ketidakseimbangan agihan bekalan serta tekanan harga di pasaran tempatan.
“Jika Sabah diberi autonomi melalui Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), negeri ini boleh menentukan sendiri sumber import, mempercepatkan kemasukan bekalan serta memastikan stok sentiasa berada pada paras selamat.
“Langkah ini penting bagi memastikan rakyat tidak terkesan sekiranya berlaku gangguan bekalan global,” katanya.
Tambahnya, usaha memperkukuh stok penimbal itu selari dengan dasar keterjaminan makanan negara yang menekankan keperluan simpanan mencukupi serta pengurusan rantaian bekalan yang lebih cekap dan responsif.
