Oleh Kolonel (PA) Professor Madya Dr Mohamad Nizam Nazarudin
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan membuat pengambilan khas 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 secara ‘one-off’ bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor dimana penempatan secara berperingkat akan bermula pada Oktober. KPM dikatakan berdepan cabaran kekurangan calon guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG), selain ketidaksepadanan opsyen mata pelajaran. Rata-rata berpendapat bahawa pengambilan guru secara ‘one-off’ dan besar-besaran itu diharap dapat menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri.
Pelbagai pendapat telah diutarakan seperti saranan pengambilan khas guru secara ‘one-off’ ini antaranya adalah perlu mengutamakan graduan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Awam (UA) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) berdaftar Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). Pengambilan guru secara khas ini bertepatan dengan keperluan semasa khususnya bagi memastikan tenaga ikhtisas perguruan seperti graduan dilatih tetapi belum dilantik dapat diberikan ruang memberikan khidmat mereka sebagai guru. Ini merupakan pilihan utama berdasarkan penekanan bahawa graduan ini mempunyai kelayakan iktisas dalam bidang pendidikan kerana mereka mengikuti kurikulum pendidikan yang menepati standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam pelbagai pengkhususan. Graduan ini juga telah menjalani latihan mengajar di sekolah, dibimbing guru berpengalaman dan didedahkan aktiviti kurikulum terkini, ko-kurikulum dan budaya positif persekolahan negara, termasuk elemen pembinaan insan seperti kepimpinan, kerja berpasukan dan komunikasi.
Graduan Diploma Lepasan Ijazah Pendidikan dilihat sebagai pilihan kedua kerana mereka bukan saja dilengkapi kemahiran mendidik tetapi juga komunikasi, penyelesaian masalah, teknologi Revolusi Perindustrian 4.0, pengurusan dan hubungan antarabangsa supaya mereka kelak dapat melahirkan murid holistik selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Graduan yang tidak memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan masih boleh dipilih jika terdapat keperluan yang mendesak dan ini perlu melibatkan UA dan IPG dalam program bidang perguruan. Graduan yang tidak pernah mendapat latihan pendidikan di universiti awam (UA) atau Institut Pendidikan Guru (IPG) juga dibenarkan memohon untuk mengisi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41. Pengkhususan Ijazah Sarjana Muda mereka dilihat sebagai satu kriteria pemilihan jika bersesuaian bidang yang tidak mencukupi itu.
Akhir sekali, pemilihan dari anak tempatan atau dari negeri asal perlulah juga dipertimbangkan khususnya di Negeri Sarawak dan Sabah. Ini bagi memastikan mereka akan terus berkhidmat di Negeri tersebut dan kemungkinan berpindah ke negeri lain adalah kurang. Kebanyakan guru yang memohon pertukaran lokasi bertugas adalah kerana ingin kembali mengajar di negeri asal selain mahu berdekatan dengan pasangan ataun keluarga masing-masing.
Pengambilan guru ini perlu dilakukan dengan lebih teliti dan tidak dilakukan secara terburu-buru kerana bakal guru terpilih nanti bukan sekadar dilantik, tetapi menyumbang secara efektif kepada pembangunan pendidikan tanpa menimbulkan sebarang impak negatif yang boleh mengganggu sistem pendidikan negara.
KOLONEL (PA) PROFESOR MADYA DR MOHAMAD NIZAM BIN NAZARUDIN
Fakulti Psikologi dan Pendidikan , Universiti Malaysia Sabah