Kolej Kemahiran Islam Sabah bakal direalisasikan dalam masa terdekat – Sapawi

KOTA KINABALU: Kolej Kemahiran Islam Sabah akan direalisasikan di Pusat Latihan Dakwah Marasinsim, Kota Marudu dalam masa terdekat, kata Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Hj Sapawi Hj Ahmad.

Beliau berkata kolej itu dibangunkam dengan kerjasama Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR), sekali gus menjadi pusat pembangunan bakat dan kemahiran generasi muda lepasan tahfiz dan pondok negeri Sabah.

“Buat permulaan, kita akan laksanakan Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) dengan kerjasama IKDAR ” katanya.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

Sapawi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Aidilfitri 2026 di Menara USIA, 1Boerneo, dekat sini hari ini.

Beliau berkata ini selaras dengan inisiatif USIA untuk melestarikan agenda pendidikan dan kemahiran Islam di negeri ini.

Menurutnya sejak mengambil alih pimpinan USIA pada Jun 2022, pertubuhan NGO itu telah menggariskan enam keutamaan strategik.

Ini termasuk pembinaan modal insan, iaitu usaha melahirkan modal insan berkualiti, berilmu dan berakhlak selaras dengan tuntutan pembangunan ummah.

Selain itu, Sapawi berkata projek-projek pembangunan aset tanah USIA yang sebelum ini terbengkalai telah dikaji semula secara menyeluruh dan kini berjaya dilaksanakan dengan lebih terancang.

Sapawi berkata ini termasuk Projek Pembaikan Bangunan USIA di Bulatan Sembulan yang berjalan lancar memasuki fasa kedua

“Bagi projek pembangunan strategik, pembangunan tanah USIA di Sembulan (tapak Asrama Toh Puan) kini berada pada fasa kerja tanah dan piling sebagai langkah awal ke arah pembangunan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Katanya Projek Pembangunan Plaza Sipadan di Semporna pula telah menunjukkan kemajuan memberangsangkan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2027.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles