Ahli Parlimen Tuaran Pelawa 111 Wakil Rakyat Sabah Sumbang RM5,000 Bantu Perjuangan Perundangan NGO SABAR

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, mempelawa kesemua wakil rakyat Sabah bersatu hati menyumbang RM5,000 seorang kepada Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) bagi menampung kos perundangan menuntut hak pelantar benua negeri ini.

Beliau berkata, NGO yang diterajui oleh rakyat itu memerlukan dana sebanyak RM500,000 menjelang 30 April 2026 bagi meneruskan cabaran perundangan di Mahkamah Persekutuan. 

“Tindakan perundangan ini bertujuan menuntut semula hak pemilikan Sabah ke atas dasar laut, pelantar benua, dan hasil bumi yang terkandung di dalamnya.

“Hak ke atas kekayaan sumber ini telah termaktub secara sah sejak tahun 1954 di bawah The North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council, iaitu sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia. 

“Namun, penguasaan negeri terhadap wilayah lautnya telah disempitkan berikutan pelaksanaan Akta Laut Wilayah 2012 (Territorial Sea Act) oleh kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu muat naik status di facebook rasminya, di sini pada Khamis.

Dalam perkongsiannya itu, itu Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, memaklumkan formula bagi menyelesaikan kekangan kewangan NGO terbabit sekiranya semua pemimpin Sabah mengetepikan sempadan politik.

“Di Sabah, kita mempunyai seramai 111 orang wakil di pelbagai peringkat yang terdiri daripada 25 Ahli Parlimen, 73 ADUN, 7 Senator, dan 6 ADUN Dilantik.

“Jika kesemua 111 Ahli Yang Berhormat dari Sabah ini menyumbang RM5,000 seorang, kita akan berjaya mengumpulkan RM555,000. 

“Jumlah ini bukan sahaja melepasi sasaran yang diperlukan, malah ia akan menjadi bukti kukuh solidariti kita dalam membela nasib negeri,” jelas beliau.

Madius turut memuji inisiatif awal yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Kudat dan Ahli Parlimen Ranau yang dilaporkan telah pun mengambil langkah proaktif dengan menyumbangkan RM5,000 setiap seorang kepada kempen tersebut.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan SABAR selaku sebuah kumpulan rakyat tanpa kaitan dengan parti politik mahupun korporat kini menunjukkan perkembangan positif selepas mereka memenangi hak di sisi undang-undang (Locus Standi). 

Katanya, kejayaan melepasi halangan pertama ini membolehkan mereka membawa kes berkenaan ke mahkamah bagi mewakili suara rakyat Sabah.

Justeru, Madius mempelawa semua rakan kepimpinan untuk menyokong usaha ini demi memastikan hasil kekayaan negeri dapat dikembalikan dan digunakan untuk pembangunan infrastruktur, sekolah, dan hospital di Sabah.

“Selain itu, kempen kutipan dana berkenaan turut dibuka kepada seluruh rakyat yang tergerak hati untuk bersama-sama mendanai yuran perwakilan guaman dan kos penyelidikan mahkamah. 

“Sumbangan awam boleh disalurkan terus ke akaun bank berdaftar pemegang amanah SABAR di CIMB (8010739874) atau melalui imbasan kod DuitNow QR (SABAR-QR),” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles