TAWAU : Aktivis masyarakat, Mohd. Zaki Harry Susanto menyambut baik jaminan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang memuktamadkan keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan ke peringkat penghakiman lebih tinggi berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah.
Menurut beliau, keputusan itu memberi isyarat jelas bahawa kerajaan pusat kini lebih terbuka dalam menyelesaikan isu berbangkit yang sekian lama menjadi tuntutan rakyat Sabah khususnya berkaitan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Rakyat Sabah sudah cukup lama menanti untuk hak mereka dipenuhi. Ini bukan isu baharu tetapi satu perkara yang berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan kesungguhan politik untuk diselesaikan,” katanya dalam catatan media sosial hari ini.
Beliau berkata, pendekatan Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim menunjukkan wujud kesungguhan dalam merealisasikan tuntutan tersebut walaupun prosesnya memerlukan masa kerana melibatkan pelbagai aspek pentadbiran dan perundangan.
“Sepanjang tempoh kerajaan ini menerajui negara, kita dapat lihat beberapa langkah konkrit sudah diambil. Ia mungkin tidak berlaku sekelip mata tetapi hal ini memang memerlukan proses yang teliti,” jelasnya.
Mohd. Zaki menegaskan bahawa Perdana Menteri perlu diberikan ruang dan masa bagi membuktikan komitmen yang telah dinyatakan memandangkan isu MA63 bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan secara tergesa-gesa.
Katanya, desakan keterlaluan atau provokasi politik bukan sahaja tidak membantu malah berpotensi melambatkan usaha penyelesaian kerana proses birokrasi tetap perlu dipatuhi.
“Birokrasi bukan untuk dilangkau. Ia penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah sah, telus dan tidak menimbulkan implikasi undang-undang di kemudian hari,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyenaraikan beberapa bukti komitmen kerajaan pusat terhadap Sabah, termasuk peningkatan peruntukan khas yang disalurkan kepada negeri Sabah sejak kebelakangan ini.
Selain itu, katanya, langkah memberi kuasa kepada kerajaan Sabah untuk meluluskan projek pembangunan bernilai RM50 juta ke bawah juga merupakan satu perubahan besar dalam struktur pentadbiran yang sebelum ini lebih berpusat.
“Ini bukan perkara kecil. Ia menunjukkan kepercayaan kerajaan pusat kepada kemampuan pentadbiran negeri dan secara langsung mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat memainkan peranan secara matang dan konstruktif dalam memastikan agenda pemerkasaan hak Sabah terus bergerak ke hadapan tanpa gangguan yang tidak perlu.
