Penstrukturan semula Gagasan Rakyat diyakini perkuatkan parti

BEAUFORT: Penstrukturan semula kepimpinan di bahagian termasuk peringkat cawangan-cawangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) seluruh Sabah diyakini dapat memperkuatkan parti, kata Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lumadan, Datuk Mazlan Joehari Manan.

Mengulas lanjut Mazlan berkata, ia diyakini bukan sahaja membawa kekuatan yang lebih padu di bahagian serta cawangan tetapi juga memastikan parti terus relevan dalam politik di Sabah.

“Saya amat berkeyakinan bahawa penstrukturan yang dicadangkan oleh pimpinan dan disetujui oleh semua pihak ini mampu membawa Gagasan Rakyat ke arah yang lebih baik, lebih kuat dan padu di masa-masa yang akan datang.

“Apabila penstrukturan ini dapat dilaksanakan, apabila Gagasan Rakyat itu sendiri dapat menjadi lebih kuat dan berpadu, rakyat akan lebih mudah untuk menyokong, memberi sokongan kepada parti.

“Rakyat akan melihat sebuah parti yang lebih kuat dan bersungguh-sungguh untuk membela rakyat melalui penstrukturan-penstrukturan yang bakal dilaksanakan oleh Gagasan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar Ramadan Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Lumadan di Lumat, dekat sini kelmarin.

Katanya lagi, usaha yang dilaksanakan itu juga membuktikan bahawa suara rakyat didengar sekali gus memberi gambaran parti itu sentiasa ke hadapan dalam suasana politik semasa.

“Kita mahu ‘way forward’ ke hadapan supaya apa sahaja aspirasi rakyat itu dapat dibawa dalam perjuangan Parti Gagasan Rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah ketika ditemui berharap ahli dan pimpinan terus menjalin kolaborasi baik demi kekuatan parti sekali gus memperkukuh gabungan demi kemakmuran negeri.

Katanya pertemuan yang diadakan kali pertama selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17) merupakan kesinambungan dalam memperkukuhkan perpaduan ahli serta pimpinan.

Pada Majlis Iftar Ramadan Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan, seramai 20 orang yatim piatu menerima sumbangan bakul makanan yang disampaikan Mazlan termasuk sumbangan duit raya daripada Matbali di majlis itu.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles