Matbali akan terus angkat isu projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah di persidangan Parlimen

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah akan terus mengangkat isu berkaitan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, sehingga ia selesai sepenuhnya.

Menurutnya, ia penting kerana pelaksanaan keseluruhan projek berkenaan di Sabah sudah jauh ketinggalan berbanding di Sarawak.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan membawa isu berkenaan sekali lagi dalam perbahasan di persidangan Dewan Rakyat pada Jun depan.

“Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah penting untuk disiapkan segera kerana ia menjadi nadi perhubungan utama yang sekali gus pemangkin pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majllis Iftar Ramadan bersama media di sini semalam.

Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia berkata isu projek Lebuh Raya Pan Borneo sering menjadi fokus perbahasannya di Parlimen, sebenarnya adalah untuk menyampaikan `suara naluri hati rakyat di Sabah.

“Selepas beberapa kali saya bangkitkan di Parlimen, memang ada kemajuan dari segi pelaksanaan projek ini.

“Justeru kita akan terus pantau perkembangannya, terutama di kawasan Parlimen Sipitang, iaitu jajaran Sindumin-Melalia-Beaufort,” katanya.

Beliau berkata dengan cara demikian, maka Kerajaan Persekutuan dapat memberikan jawapan dan perkembangan terkini pelaksanaannya dari semasa ke semasa.

Pada 3 Mac lepas, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan bahawa kerajaan telah mengenakan penalti ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM31.8 juta terhadap dua kontraktor bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang gagal menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan.

Menurut Ahmad Maslan, sebanyak 23 pakej kerja dikenal pasti lewat berbanding jadual asal pelaksanaan projek infrastruktur mega berkenaan.

“Kelewatan itu dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti serta prestasi kontraktor di tapak,”  katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles