SANDAKAN – Satu sesi mesyuarat bersama Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah diadakan bagi membincangkan pelbagai isu kemudahan awam serta permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di sekitar Sandakan.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh ADUN N55 Elopura, Calvin Chong Ket Kiun; ADUN N56 Tanjong Papat, Alex Thien; dan ADUN N54 Karamunting, Alex Wong.
Antara isu utama yang dibangkitkan ialah berkenaan Pasar Muhibbah di Batu 2½. Dimaklumkan bahawa cadangan pindahan dan penaiktarafan pasar tersebut telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Tanah bagi tujuan projek tersebut juga telah dikenal pasti dan kini masih dalam peringkat perbincangan serta proses lanjut oleh pihak berkaitan.
Selain itu, isu kerosakan tandas di Terminal Bas Sandakan turut diketengahkan dalam mesyuarat tersebut. Presiden MPS telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan telah mengarahkan kakitangan berkaitan untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan kemudahan tersebut dapat diperbaiki dan digunakan dengan selesa oleh orang awam.
Mesyuarat tersebut turut membincangkan masalah lampu jalan yang rosak, khususnya di kawasan Elopura. Difahamkan hampir 200 tiang lampu jalan di Sandakan mengalami kerosakan. Namun begitu, pihak MPS berdepan kekangan dari segi tenaga kerja kerana satu pasukan hanya mampu melaksanakan pembaikan sekitar lima tiang lampu pada satu masa. Kerja-kerja pembaikan juga sering terjejas ketika hujan selain berdepan isu kecurian komponen seperti lampu, kotak dan panel, terutamanya di kawasan Jalan Sibuga.
Dalam masa yang sama, isu kekurangan serta kerosakan jentera skylift turut dibangkitkan kerana keadaan tersebut menjejaskan kelancaran kerja penyelenggaraan lampu jalan dan kemudahan awam yang lain. Perkara ini akan dibawa ke peringkat Dewan Undangan Negeri bagi mendapatkan perhatian dan penyelesaian yang sewajarnya.
Turut dibincangkan ialah masalah longkang tersumbat serta dipenuhi pasir di kawasan pasar. Bagi menangani isu ini, pihak MPS sedang dalam proses mendapatkan splash vacuum bagi memudahkan kerja pembersihan longkang, khususnya bagi kotoran yang telah mengeras dan sukar dibersihkan.
Isu pengurusan sampah di kawasan perumahan LPPB juga telah dibangkitkan. Dimaklumkan bahawa kawasan tersebut berada di bawah selenggaraan LPPB manakala MPS hanya bertanggungjawab dalam kerja-kerja kutipan sampah. Walau bagaimanapun, perkara ini akan turut dibangkitkan dalam sidang Dewan akan datang, dan pada masa yang sama pihak MPS turut berinisiatif untuk membantu membersihkan kawasan berkenaan.
Selain itu, isu penutup longkang yang rosak juga diberi perhatian dalam mesyuarat tersebut. Dalam tempoh seminggu yang lalu, pihak MPS telah melaksanakan pembaikan terhadap kira-kira 60 penutup longkang yang rosak di sekitar kawasan bandar. Walaupun terdapat kekangan seperti faktor cuaca dan kerosakan akibat beban berat daripada premis berhampiran, Presiden MPS telah mengarahkan kakitangannya untuk lebih proaktif dalam menangani masalah ini.
Dalam mesyuarat tersebut, YB Calvin Chong turut mencadangkan agar mesyuarat bersama pihak MPS diadakan setiap tiga bulan sekali bagi memastikan komunikasi antara wakil rakyat dan pihak majlis dapat diperkukuhkan serta memudahkan penyelarasan isu-isu semasa sebelum sidang Dewan Undangan Negeri berlangsung.
Beliau juga memaklumkan bahawa beliau akan menyuarakan cadangan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri bagi menyediakan sistem pengurusan untuk bangunan lama seperti Perumahan Bandar Kim Fung, Flat International dan lain-lain, bagi memastikan penyelenggaraan yang lebih sistematik dan teratur. Cadangan tersebut turut mendapat persetujuan daripada pihak MPS.
Akhir sekali, YB Calvin Chong merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden MPS dan seluruh pihak majlis atas kesediaan untuk bekerjasama serta menunjukkan komitmen dalam menangani pelbagai isu yang memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat di Sandakan. Kerjasama erat antara wakil rakyat dan pihak majlis amat penting bagi memastikan setiap permasalahan dapat ditangani dengan lebih berkesan demi kepentingan masyarakat setempat.
