PBS Rai Ulang Tahun Ke-41, Tekankan Perpaduan dan Perjuangan Hak Sabah

PBS

Oleh Dr Jikat Binol Darimbang

KOTA KINABALU: Sambutan ulang tahun ke-41 Parti Bersatu Sabah (PBS) disambut meriah dengan kehadiran barisan pemimpin utama parti yang menzahirkan semangat perpaduan serta komitmen berterusan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran pengasas PBS, Joseph Pairin Kitingan yang kini berperanan sebagai Penasihat Perdana parti. Turut hadir memeriahkan sambutan ialah pemimpin veteran Radin Malleh serta Presiden PBS, Maximus Ongkili.

Dalam ucapannya, Setiausaha Agung PBS yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Rakyat Sabah serta Pengerusi Penganjur majlis, Datuk Julita Majungki mengajak seluruh ahli parti agar terus mengekalkan kesetiaan dan memperkukuhkan perpaduan di semua peringkat kepimpinan.

Beliau menegaskan bahawa kekuatan parti terletak pada kesatuan ahli di akar umbi, cawangan, bahagian serta pucuk pimpinan tertinggi. Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak yang akan bertanding dalam pemilihan parti kali ini mengamalkan budaya politik matang serta memelihara keharmonian dalam parti.

“Pertandingan dalam parti harus dijalankan dalam suasana penuh tertib dan saling menghormati, ibarat menarik benang dalam dulang tepung – benangnya tidak putus dan tepungnya tidak berselerak,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Presiden PBS, Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sabah serta Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri, mengingatkan bahawa semua pemimpin yang akan bertanding perlu bertanggungjawab memelihara perpaduan parti.

Beliau berkata, kepimpinan PBS harus terus komited memperjuangkan kepentingan dan hak rakyat Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut beliau, perjuangan PBS sejak penubuhannya sentiasa berlandaskan usaha mempertahankan kedudukan dan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Sambutan ulang tahun ke-41 parti itu dilihat sebagai simbol kesinambungan perjuangan PBS yang kekal relevan dalam landskap politik negeri, selain menjadi platform mengukuhkan kesatuan dalam kalangan pemimpin serta ahli parti menjelang cabaran politik pada masa hadapan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles