TAMBUNAN: Perpaduan kaum merupakan inti pati utama dan kejayaaan Sabah selama ini, kata Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan, Dato’ Victor P. Paut .
Oleh itu, katanya keharmonian kaum yang dinikmati sekarang di negeri ini wajar dipertahankan bagi menjamin kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, dan keamanan negara.
Menurutnya, Sabah sememangnya sebuah negeri yang unik mempunyai lebih 32 etnik dan sub-etnik tetapi hidup aman damai dan harmoni.
“Tentu sekali, ini adalah hasil toleransi, sikap saling menghormati yang dipraktikkan oleh rakyat berbilang kaum, dan penolakan ekstremisme oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai Program Walkabout sempena sambutan Tahun Baru Cina di premis perniagaan daerah Tambunan.
Victor kemudian menyampaikan sumbangan 200 buah kerusi dan meja serta 100 bakul makanan untuk diagihkan kepada golongan asnaf dan mualaf kurang berkemampuan di Masjid Nurul Iman Tambunan pada Jumaat.
Beliau sebelum itu turut menyampaikan set komputer kepada gereja Kampung Kaingaran Tambunan untuk kegiunaan gereja.
Victor, yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera mengingatkan rakyat agar tidak terikut-ikut retorik budaya politik perkauman semata-mata untuk meraih sokongan.
“Kita berharap budaya politik tidak sihat ini tidak dibawa masuk ke Sabah. Kita di Sabah sentiasa misompuru dan lebih mementingkan keharmonian kaum dan bukan memainkan isu perkauman,” katanya.
