Jalan Tamparuli – Kiulu – Rondogung Ranau akan dinaiktaraf sebagai Lebuh Raya: Madius

KUALA LUMPUR: Laluan Tamparuli – Kiulu – Rondogung Ranau akan dinaiktaraf sebagai lebuh raya menerusi jajaran alternatif projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa Dua.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata, perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menjawab pertanyaannya pada Sesi Soalan Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut Madius pelaksanaan naik taraf itu melibatkan tiga jajaran utama iaitu Jalan Kiulu – Pahu yang akan dinaik taraf kepada empat lorong dengan reka bentuk R4 sepanjang 24.8 kilometer.

“Selain itu, Jalan Pahu – Rondogung akan dinaik taraf dua lorong dengan reka bentuk R4 sepanjang 21.66 kilometer.

“Jalan Pahu – Tamparuli turut disenaraikan untuk dinaik taraf dengan reka bentuk R4 sepanjang 15.72 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan.  

Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Tamparuli berkata,  pelaksanaan projek tersebut dijangka dilaksanakan melalui pakej seterusnya selepas penyempurnaan fasa semasa Pan Borneo Sabah.

Terdahulu dalam soalannya, Madius meminta Kementerian Kerja Raya menyatakan sama ada Kerajaan bercadang untuk menaik taraf Jalan Tamparuli -Ranau menjadi lebuh raya memandangkan masalah kesesakan jalan raya yang semakin teruk.

Ahmad Maslan memberitahu, buat masa ini masih belum ada perancangan memandangkan data terkini pada 2024 mendapati Tahap Perkhidmatan Jalan (LOS) di jalan tersebut masih berada pada tahap LOS A iaitu masih mampu menampung aliran trafik sedia ada.

Walau bagaimanapun Ahli Parlimen Pontian itu bersetuju dengan cadangan Madius untuk mengadakan kajian semula bagi menilai tahap LOS terkini memandangkan data yang diguna pakai adalah data dua tahun lalu.

“Saya akan mengarahkan JKR untuk membuat kajian tahun berapa LOS sebenar berkaitan pekan Tamparuli dan yang disebutkan Tuaran tadi.

 “Dan langkah sementara kita akan berbincang dengan pihak trafik untuk memastikan langkah seterusnya,” jelas beliau lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles