Dato’ Victor Paut Optimis Industri Sawit Terus Memacu Ekonomi Sabah

KOTA KINABALU: Dato’ Victor Peter Paut, yang baru dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan Borneo Samudera Sdn Bhd, menyatakan keyakinan bahawa industri kelapa sawit akan terus menjadi pemacu utama ekonomi Sabah. 

Keyakinan ini selaras dengan usaha berterusan untuk memperkukuh pembangunan industri hiliran serta memperkasakan zon perindustrian strategik negeri.

Pada separuh pertama tahun lalu sahaja, nilai eksport kelapa sawit Sabah dianggarkan melebihi RM10 bilion, sekali gus mencerminkan sumbangan besar sektor ini kepada ekonomi negeri dan negara.

Menurut beliau, prestasi kukuh ini membuktikan keupayaan industri sawit dalam menjana hasil eksport yang mampan serta pertumbuhan pendapatan yang konsisten, dengan syarat ia terus diperkasa melalui inovasi, penambahan nilai dan pematuhan ketat terhadap piawaian kelestarian.

Berikut adalah transkrip penuh wawancara bersama Jesselton Times dan Asia Times.

Soalan 1: Pada pandangan Dato’, apakah kepentingan industri sawit kepada ekonomi Sabah?

Dato’ Victor: Tidak dapat dinafikan bahawa industri kelapa sawit merupakan tulang belakang ekonomi Sabah. Ia bukan sahaja penyumbang utama kepada hasil eksport negeri, malah menjadi sumber pendapatan kepada lebih 31,000 pekebun kecil berdaftar dan komuniti luar bandar.

Selain aktiviti huluan, industri ini turut mewujudkan peluang pekerjaan melalui aktiviti hiliran seperti pemprosesan minyak sawit, pengeluaran biodiesel, oleokimia dan produk makanan berasaskan sawit. Rantaian nilai yang luas ini menjadikan industri sawit sebagai tonggak kestabilan ekonomi luar bandar di Sabah.

Soalan 2: Bagaimana Dato’ melihat potensi industri sawit Sabah?

Dato’ Victor: Potensinya amat besar. Sabah bukan sahaja merupakan pengeluar minyak sawit mentah (CPO) terbesar di Malaysia, malah mempunyai kapasiti untuk berkembang ke arah industri hiliran bernilai tinggi termasuk biojisim, bioenergi dan produk berasaskan teknologi hijau.

Dalam konteks ini, pembangunan kluster perindustrian seperti Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SK SIP) dan POIC Lahad Datu memainkan peranan penting dalam meningkatkan aktiviti penambahan nilai dalam industri sawit negeri.

Soalan 3: Berapakah jumlah keluasan tanaman kelapa sawit di Sabah ketika ini?

Dato’ Victor: Berdasarkan statistik terkini 2024, Sabah mempunyai lebih 1.48 juta hektar ladang kelapa sawit, mewakili lebih 26 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit Malaysia. Wilayah Pantai Timur, khususnya Sandakan, kekal sebagai antara penyumbang utama kepada pengeluaran kelapa sawit negeri.

Soalan 4: Bagaimana Dato’ melihat peranan hab industri seperti SK SIP dan POIC Lahad Datu?

Dato’ Victor: Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SK SIP) di Sandakan dan POIC Lahad Datu memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada pembangunan industri sawit Sabah. Kedua-dua taman perindustrian ini berfungsi sebagai hab pelaburan strategik bagi sektor sawit serta menyediakan infrastruktur kargo pukal dan cecair yang lengkap. Untuk makluman, SK SIP sebelum ini dikenali sebagai Sawit POIC, Sandakan dan telah melalui proses penjenamaan semula sebagai Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SK SIP). Penjenamaan ini mencerminkan hala tuju baharu taman tersebut sebagai hab industri yang lebih bersepadu dan inklusif. SK SIP menyediakan infrastruktur komprehensif termasuk kemudahan kargo pukal dan cecair, akses pelabuhan strategik serta utiliti yang menyokong pelaburan dalam industri hiliran, biojisim, tenaga dan pemprosesan makanan.

Transformasi ini selaras dengan aspirasi Sabah untuk memperkukuh rantaian nilai industri serta menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Pantai Timur negeri.

Soalan 5: Adakah industri sawit menyumbang kepada komuniti luar bandar?

Dato’ Victor: Penglibatan lebih 31,000 pekebun kecil jelas menunjukkan bahawa industri sawit merupakan sumber utama sara hidup komuniti luar bandar di Sabah.

Melalui pensijilan seperti Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO), pekebun kecil dibimbing untuk mengamalkan pertanian lestari sekali gus meningkatkan daya saing dan akses mereka ke pasaran global.

Soalan 6: Apakah cabaran utama yang dihadapi industri sawit di Sabah?

Dato’ Victor: Industri sawit berdepan beberapa cabaran termasuk kekurangan tenaga kerja, pokok yang semakin berusia, isu produktiviti serta peningkatan kos input pertanian. Selain itu, tekanan antarabangsa berkaitan isu penebangan hutan, kehilangan habitat dan pelepasan gas rumah hijau (GHG) menuntut industri untuk terus memperkukuh amalan kelestarian.

Namun demikian, saya yakin bahawa melalui pemodenan ladang, penerapan teknologi, pematuhan piawaian MSPO serta pembangunan kluster perindustrian seperti SK SIP dan POIC Lahad Datu, industri sawit Sabah akan terus kekal relevan dan berdaya tahan dalam jangka panjang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles