KOTA KINABALU: Dua pensyarah Program Kimia Industri, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Institut Kimia Malaysia (IKM) Cawangan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi sesi 2026/2027.
Pelantikan Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Mohd Sani Sarjadi dan Profesor Madya ChM. Dr. Newati Wid dibuat melalui undian sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-33 IKM Cawangan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Pacific Sutera Hotel, baru-baru ini.
Pelantikan tersebut disifatkan sebagai bentuk pengiktirafan terhadap kepakaran dan sumbangan aktif warga akademik UMS dalam memperkasa pembangunan bidang kimia di peringkat negeri dan wilayah.
Sani berkata, sebagai Felo IKM, pelantikan tersebut merupakan satu amanah untuk memperkukuh peranan ahli kimia profesional dalam menyumbang kepada pembangunan sains dan teknologi negara.
“IKM ialah badan profesional yang menghimpunkan ahli kimia daripada pelbagai sektor termasuk pembuatan, perkhidmatan, institusi pengajian tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta sektor kerajaan.
“Ia berperanan sebagai platform yang menyatukan ahli kimia bagi memacu pembangunan bidang kimia melalui pelbagai aktiviti profesional dan pendidikan.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk kursus profesional, program pendidikan berterusan, lawatan teknikal serta program pemasyarakatan sains seperti Karnival Kimia Malaysia (K2M),” katanya.
Tambah Sani, jalinan kerjasama antara UMS dan IKM yang telah lama terjalin memberi impak positif dalam memperkukuh jaringan profesional serta memastikan kurikulum sentiasa selaras dengan keperluan industri.
“Penglibatan dalam IKM membolehkan universiti memperoleh maklumat terkini berkaitan piawaian profesional dan keperluan industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Diharap pelantikan ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak program kolaboratif yang memberi manfaat kepada komuniti serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan bidang kimia,” ujarnya.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Naib Presiden IKM dari ibu pejabat, ChM. Dr. Yang Farina Abdul Aziz yang mewakili Presiden IKM, Datuk ChM. Dr. Soon Ting Kueh.
Pelantikan dua pensyarah UMS berkenaan dijangka memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan badan profesional serta menyumbang kepada kecemerlangan bidang kimia di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
