UMS Perkukuh Budaya Integriti Dalam Ekosistem Perkhidmatan

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh komitmen terhadap pembudayaan integriti dan tadbir urus baik menerusi penganjuran Program Jerayawara Integriti UMS ke Ekosistem Perkhidmatan Tahun 2026 baru-baru ini.

Program tersebut melibatkan penyertaan 20 Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam Ekosistem Perkhidmatan UMS serta menghimpunkan Pengarah, Timbalan Pengarah, Ketua Pentadbiran, pegawai dan kakitangan sokongan.

Menurut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, integriti bukan sekadar prinsip atau slogan, sebaliknya menjadi teras kepada kelangsungan, kepercayaan dan reputasi ekosistem perkhidmatan universiti.

“Setiap lapisan perkhidmatan di UMS perlu berteraskan nilai amanah, kecekapan dan akauntabiliti selaras dengan cabaran pengurusan institusi pendidikan tinggi masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan yang berlangsung di Dewan Auditorium Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS.

Tambah beliau, penghayatan integriti juga perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan dan keputusan perkhidmatan bagi memastikan tahap kepercayaan warga universiti serta pihak berkepentingan sentiasa terpelihara.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Integriti UMS, Darwis Awang berkata realiti cabaran integriti dalam organisasi merangkumi isu ketidakpatuhan prosedur, kecuaian tadbir urus, konflik kepentingan, tuntutan palsu dan salah guna kemudahan.

“Usaha memperkukuh integriti perlu disokong melalui sistem, pemantauan berasaskan data serta pengurusan risiko yang berkesan bagi memastikan ketelusan dan pematuhan berterusan dalam perkhidmatan,” ujarnya.

Program tersebut turut menjadi platform dialog dua hala bagi menyelaras kefahaman dasar dan amalan terbaik universiti dalam memperkasa tadbir urus perkhidmatan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles