KOTA KINABALU: Ketua UMNO Putatan Jeffery Nor Mohamad berkata kenaikan tarif elektrik negeri Sabah dibuat sebaiknya demi perkhidmatan elektrik kepada rakyat Sabah.
Jeffery berkata beliau sedia maklum isu kenaikan itu semasa menjadi ahli lembaga pengarah SESB yang lalu.
Menurutnya kenaikan itu tidak dapat dihalang memandangkan terdapat keperluan mendesak susulan harga operasi bekalan tenaga lebih tinggi daripada harga jualan tenaga.
Jeffery berkata purata tarif asas adalah daripada 34.25 sen kepada 39.70 sen per Kilowatt-jam (kWh) dan ini berpadanan kenaikan sebanyak 15 peratus.
“Sebenarnya tariff sebenar ialah 45.08 sen per kWh yang diperlukan, bermakna kadar kenaikan yang diterima hanya kepada 39.70 sen per kWh.
“Justeru penurunan subsidi kerajaan Persekutuan kepada RM849 juta untuk tahun 2026 hingga 2027,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Jeffery mencadangkan agar kenaikan 15% itu dipecahkan kepada dua masa iaitu dalam tempoh enam bulan pertama bagi penyesuaian pelarasan serta tindakan-tindakan rebat kepada penerima-penerima yang layak, kos mendadak akan berkaitan kepada nilai harga material kepenggunaan.
“Saya bersetuju dengan diskaun-diskaun yang diberikan kepada penerima-penerima yang layak dan saya ingin lihatnya konsisten agar tidak berlaku masalah sosial yg lain seperti mencuri elektrik dn selainnya,” katanya.
Jeffery juga berharap dengan peningkatan harga tarif yang baru itu akan membuat pihak SESB lebih berdaya maju dan tahan lasak dalam penghasilan tenaga elektrik yang lebih konsisten dan mencari ruang-ruang baru bagi penambahan sumber tenaga yg lebih mesra kehidupan dan alam sekitar.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak SESB yang memberi banyak diskaun kepada mereka yang layak.
“Semoga ianya dapat diperluaskan kepada kategori-kategori lain yang difikir sangat-sangat memerlukan dan kewangan syarikat SESB bertambah baik dn menghasilkan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Sabah,” katanya.
