KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) telah berjaya melaksanakan satu operasi penguatkuasaan hasil risikan yang membawa kepada rampasan sejumlah besar produk ayam sejuk beku tanpa permit import yang sah.
Operasi yang diketuai oleh DVS Wilayah Kota Kinabalu ini melibatkan pemeriksaan sebuah kontena 40 kaki di Pelabuhan Sepanggar sebelum tindakan susulan diambil di sebuah premis bilik sejuk di Inanam Laut.
Pemeriksaan mendapati pemilik gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen import yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Susulan itu, tindakan sitaan telah diambil ke atas 27,000 kilogram produk paha ayam sejuk beku dengan nilai anggaran RM268,410.00, selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Datuk Jamawi Jaafar, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, menzahirkan penghargaan kepada pasukan DVS Sabah atas kejayaan operasi tersebut.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah atas tindakan pantas, berkesan dan profesional dalam melindungi keselamatan makanan serta kepentingan rakyat Sabah.
“Kerajaan Negeri memandang serius sebarang cubaan membawa masuk produk makanan tanpa kelulusan yang sah kerana ia boleh menjejaskan kesihatan awam, biosekuriti serta kepercayaan rakyat terhadap sistem kawalan makanan negara.
“Operasi ini jelas membuktikan ketegasan dan komitmen berterusan Sabah dalam memastikan hanya produk yang mematuhi piawaian dan undang-undang dibenarkan berada di pasaran, kata Jamawi.
Sementara itu, Dr Zul Bahar, Pengarah DVS Sabah menjelaskan bahawa operasi tersebut dilaksanakan secara terancang dan berperingkat.
“Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama erat antara Unit Penguatkuasaan DVS Wilayah Kota Kinabalu, Unit Pemeriksa Veterinar serta Unit Kuarantin DVS KKIA/Kargo, selaras dengan komitmen berterusan DVS Sabah dalam memperkukuh keselamatan makanan dan biosekuriti negeri,” kata Dr Zul.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi penguatkuasaan yang terlibat.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas kerjasama erat dan sokongan padu yang diberikan. Sinergi antara agensi inilah yang membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan dan berintegriti,” tambah Pengarah DVS.
