KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranan sebagai institusi pendidikan tinggi yang prihatin terhadap pembangunan komuniti melalui penganjuran Program Smart Care: Asuhan Selamat, Komuniti Sejahtera di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, baru-baru ini.
Program anjuran Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) itu melibatkan seramai 105 peserta termasuk mahasiswa UMS serta 50 peserta komuniti yang terdiri daripada ibu-ibu Ahli BAKAT Laut.
Inisiatif berimpak komuniti tersebut memberi penekanan terhadap aspek penjagaan kanak-kanak secara holistik merangkumi kesihatan, pemakanan, teknik pengajaran serta pengurusan tingkah laku kanak-kanak, selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan keluarga dan masyarakat.
Ketua Program PAKK FPPS, Dr. Zafaren Zakaria berkata program itu memberi manfaat besar kepada ibu bapa, pendidik dan mahasiswa melalui perkongsian ilmu dan pengalaman secara langsung.
“Program ini memberi peluang kepada peserta meningkatkan kefahaman berkaitan asuhan dan didikan kanak-kanak, termasuk teknik penyusuan eksklusif, amalan pemakanan sihat serta pendedahan kepada asas pertolongan cemas seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan.
“Melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti yang dijalankan, peserta memperoleh pengalaman bermakna yang menyumbang kepada perkembangan holistik kanak-kanak serta kesejahteraan keluarga dan komuniti,” katanya.
Program berkenaan turut dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti Ahli BAKAT, sekali gus memperkukuh jaringan kolaborasi antara universiti dan agensi luar dalam memperkasakan pendidikan masyarakat.
Sepanjang program berlangsung, peserta turut menyertai aktiviti pertandingan berkumpulan yang menggabungkan ibu-ibu Ahli BAKAT dan mahasiswa UMS bagi menghasilkan kit pengajaran ringkas yang boleh digunakan di rumah.
Bagi memastikan pendekatan program bersifat inklusif dan mesra keluarga, aktiviti khas bersama kanak-kanak turut dianjurkan dan dikendalikan oleh mahasiswa PAKK UMS melalui pendekatan pembelajaran berasaskan bermain yang merangkumi aktiviti kreatif, sensori dan sosial mengikut tahap perkembangan kanak-kanak.
Majlis perasmian dan penutupan program telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan, yang turut merakamkan penghargaan kepada penyelaras program, Saturia Amiruddin, atas komitmen menjayakan penganjuran program berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Program, Nurul Fatin Fasiha Norhambe, menyifatkan sambutan menggalakkan daripada komuniti sebagai bukti keperluan program seumpama ini dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan asuhan kanak-kanak yang berkualiti.
Penganjuran Program Smart Care itu mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam menyumbang kepada pembangunan awal komuniti, memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat serta melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berjiwa masyarakat.
