KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) yakin pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara lantikan kontrak atau Contract of Service (CoS) dapat membantu memenuhi keperluan tenaga pengajar susulan pertambahan murid yang bakal memasuki tahun satu bermula tahun depan.
Sehubungan itu, presiden KGKS Murkam Hj Hussien berkata kesatuan itu menyambut baik langkah drastik Kementerian Pendidikan (KPM) itu yang menurutnya mencerminkan kesungguhan kerajaan Madani untuk memperkasakan agenda pendidikan negara.
“KGKS jangka susulan keputusan kerajaan memberi ruang kemasukan kanak-kanak enam tahun ke tahun satu secara sukarela tahun hadapan, jumlah murid akan bertambah (kanak-kanak enam tahun dan tujuh tahun).
“Bagi menampung pertambahan murid, jumlah guru juga wajar ditambah…sebab itu, KGKS menyokong penuh usaha murni KPM tersebut,” kata Murkam dalam satu kenyataan pada hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad memaklumkan bahawa
permohonan pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara lantikan kontrak atau Contract of Service (CoS) akan dibuka dari 2 hingga 20 Mac ini bagi memenuhi keperluan guru seluruh negara.
Dr Mohd Azam dipetik sebagai berkata bahawa hebahan rasmi pengambilan akan dibuat pada 23 Februari manakala proses saringan dan temu duga dijadualkan dari 27 April hingga 14 Mei dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.
Beliau berkata inisiatif pengambilan guru besar-besaran itu sebahagian persiapan awal Kementerian Pendidikan (KPM) bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 selain menyokong kemasukan kanak-kanak enam tahun ke tahun satu secara sukarela tahun hadapan.
Murkam berharap rakyat tempatan Sabah yang layak dapat memanfaatkan peluang tersebut, sekali gus membantu menjayakan agenda pendidikan negara.
