SANDAKAN: Isu pasar malam borong di kawasan Pasar Umum Sandakan yang bakal dihentikan operasinya selepas 28 Februari depan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peniaga, selain disalah tafsir oleh pihak tertentu.
Menjelaskan perkara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, menegaskan bahawa langkah berkenaan bukan penutupan pasar malam borong, sebaliknya sebahagian daripada proses penstrukturan dan perancangan semula oleh pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Yap Hsiu Min, kepada President Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson, pagi tadi, bagi membincangkan susulan pengumuman terbabit dan mencari penyelesaian terbaik untuk semua pihak.
Menurut George, pihak MPS sejak beberapa tahun kebelakangan ini giat melaksanakan usaha penambahbaikan bandar, khususnya di kawasan Pasar Umum Sandakan yang sering berdepan masalah kesesakan lalu lintas dan kebersihan.
“Cadangan untuk menyusun semula pasar malam borong ini sebenarnya telah dibincangkan lebih awal, termasuk mencari lokasi yang lebih sesuai iaitu Pasar Ramai-Ramai bagi memastikan operasi peniaga dapat diteruskan dalam keadaan lebih teratur,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak MPS tidak akan bertindak sendiri tanpa rundingan dan akan mengadakan sesi libat urus bersama peniaga terlibat bagi mendengar pandangan serta kebimbangan mereka.
“Saya berharap semua pihak yang terkesan boleh bersabar dan perkara ini tidak disalahtafsir. Ia adalah sebahagian daripada usaha pembaharuan bandar. Pasar malam borong tidak dibatalkan, tetapi dirancang semula supaya dapat beroperasi di lokasi yang lebih sesuai,” tegasnya.
George berkata, beliau terlibat dalam proses perancangan pemindahan pasar borong terebut ketika beliau masih lagi ADUN Karamunting, dan antara perancangan awal yang dipertimbangkan ialah memindahkan terlebih dahulu gerai borong sayur-sayuran ke Pasar Ramai-Ramai bagi membantu melancarkan aliran trafik serta memperbaiki tahap kebersihan di sekitar Pasar Umum Sandakan.
Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terhadap inisiatif pembaharuan dan inovasi yang dilaksanakan MPS, sambil menyeru semua pihak untuk melihat isu berkenaan dari sudut kepentingan jangka panjang pembangunan Sandakan.
