KOTA KINABALU: Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Muslimin, menyifatkan kemenangan UMNO di Kinabatangan sebagai bukti jelas keberkesanan kerjasama menyeluruh pelbagai pihak.
Katanya, selain dipacu oleh ketiadaan isu besar yang mampu dimanipulasi pihak lawan untuk mempengaruhi sentimen pengundi.
Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan hasil usaha satu pihak semata-mata, sebaliknya digerakkan oleh kekuatan jentera UMNO Kinabatangan yang bekerja secara tersusun dan bersepadu bersama 24 Bahagian Angkat dari seluruh negara, selain sokongan padu rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, peranan jentera parti tempatan turut menjadi faktor penentu, khususnya komitmen pasukan Mohd Ismail Ayob (MIHA) di DUN Lamag yang bergerak secara agresif dan konsisten sepanjang tempoh kempen bagi memastikan mesej parti sampai ke peringkat akar umbi.
“Selain kekuatan jentera, sokongan pengundi juga didorong oleh rasa penghargaan terhadap sumbangan besar Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang banyak berjasa dalam pembangunan dan kebajikan rakyat Kinabatangan,” katanya.
Musliati menambah, rekod perkhidmatan dan legasi kepimpinan Allahyarham masih segar dalam ingatan pengundi, sekali gus memberi kesan positif terhadap sokongan rakyat di kawasan berkenaan.
Dalam masa sama, beliau berpandangan kegagalan pihak Warisan mengetengahkan isu yang benar-benar relevan dengan keperluan dan kehendak rakyat setempat menyebabkan parti itu tidak berjaya mencetuskan gelombang sokongan.
“Rakyat kini lebih matang dalam menilai, mereka melihat kepada prestasi, sumbangan serta keikhlasan kepimpinan, bukan sekadar retorik politik,” katanya lagi.
Beliau menyifatkan kemenangan tersebut sebagai isyarat jelas bahawa pendekatan politik berteraskan khidmat, kerjasama dan kestabilan masih menjadi pilihan utama pengundi di Kinabatangan.
