Oleh Yussof J. Imbang
KINABATANGAN: Konsep kerajaan perpaduan yang dibentuk di peringkat negeri jelas memberi kelebihan kepada kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, semalam.
Menurut Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Masiung Banah, penyatuan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH), UPKO ternyata menyumbang jumlah majoriti besar bagi kedua-dua calon BN di kawasan itu.
Pengerusi Kumpulan SEDCO itu ditemui sejurus pengumuman rasmi keputusan pilihan raya kecil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, jam 10.30 malam semalam.
Masiung yang berkampung selama empat hari di Kuamut dan turut membantu kempen di DUN Lamag menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada rakan kepimpinan GRS yang bekerja keras sepanjang kempen membantu kedua-dua calon berkenaan.
Keputusan PRK itu semalam menyaksikan calon Parlimen BN Kinabatangan, Mohd. Kurniawan Naim Mokhtar memperolehi 19,852 dengan majoriti 14,214 menewaskan calon Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman yang mendapat 5,638 dan Bebas Goldam H. Salangah mendapat 946 undi.
Sementara calon BN bagi DUN Lamag, Mohd Ismail Ayub yang bertanding satu lawan satu menang dengan undi 7,269 dan memperolehi majoriti 5,681 menewaskan calon Warisan, Mazilawati Abdul Malek yang cuma mendapat undi 1,588.
Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) arwah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mempertahankan Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi menewaskan Mazliwati dari Warisan.
Beliau juga mencatat kemenangan dalam saingan lima penjuru pada pilihan raya negeri ke-17 (PRN17) pada 29 November tahun lalu dengan majoriti 153 undi.
” Roda politik sentiasa berputar, penyatuan gabungan ini menjurus kepada pendekatan menang-menang demi kestabilan politik.
Menurut Masiung, kempen PRK Kinabatangan dan DUN Lamag memperlihatkan satu kolaborasi yang akraf antara GRS, BN, UPKO dan PH yang jelas meletakan tahap politik yang matang.
” Kami dalam GRS telahpun melakukan yang termampu untuk membantu kemenangan bergaya BN selepas mendapat arahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
” Kita berharap, parti-parti yang berpusat di Malaya perlu menghormati kerjasama ini kerana kemampuan mereka di Sabah sudah teruji dalam PRN-17 yang lalu, ” katanya.
