Darurat Wajar Untuk Kekang Covid-19

884
Professor Madya Dr Lee Kuok Tiung
Professor Madya Dr Lee Kuok Tiung

Tatkala Pak Iman seorang sahabat dari Indonesia yang sudah lama tidak berhubung tiba-tiba telefon menanyakan apakah YDP Agong telah mengambilalih pentadbiran negara seolah-olah memberitahu langkah drastik yang terpaksa diambil untuk menangani penularan pandemik Covid-19 di Malaysia menarik perhatian dari dalam dan luar negara.   

Advertisements

Pengisytiharaan proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pagi Selasa (12 Januari 2021) sebelum disusuli dengan pengumuman perkara sama oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat reaksi yang berbeza daripada pelbagai pihak.

Seperkara penting yang perlu dijelaskan terlebih dahulu bagi maksud pemahaman umum untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham ialah darurat yang diisytiharkan adalah bagi tujuan mengawal penularan pandemik Covid-19.

Darurat yang sedang dihadapi oleh rakyat ialah darurat kesihatan yang telah membawa kepada pengenalan pelbagai norma-norma baharu dalam rutin harian kita. 

Peningkatan kesedaran secara mendadak erti penting menjaga kebersihan sudah pastinya sesuatu yang mudah diterima baik oleh semua lapisan masyarakat tetapi bagaimana dengan periuk nasi sesetengah pihak khususnya peniaga dan persekolahan anak-anak? 

Selagi pandemik Covid-19 gagal dikawal keseluruhan sistem kehidupan masyarakat akan terencat. 

Jangan terlalu cepat menunding jari kepada siapa-siapa dalam hal ini kerana hampir setiap individu pada ketika ini mempunyai perasaan skeptikal dan prejudis terhadap setiap orang baik orang awam, sahabat karib, rakan sekerja mahupun ahli keluarga yang mereka nampak.

Saya percaya ini merupakan sesuatu yang normal yang ada pada setiap manusia biasa malangnya keadaan ini juga yang menyebabkan rangkaian kegiatan ekonomi itu lumpuh.  

Maka wajarlah suatu langkah yang lebih ekstrem sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan bila melibatkan “keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam.” 

Statistik jumlah kes harian yang sudah mencecah angka ribuan setiap hari yang dilaporkan jelas nyata membimbangkan.

Sabah yang menduduki tangga teratas dalam carta angka kes pandemik Covid-19 untuk seketika waktu sebelum ini bukanlah sesuatu yang membanggakan tetapi digeruni. 

Kita sebenarnya tidak banyak pilihan dalam soal ini. 

Jangan biarkan Tan Sri Noor Hisham Abdullah bergelut seorang diri. Jangan sia-siakan pengorbanan siang malam petugas-petugas barisan hadapan (frontliners) kita. 

YAB Perdana Menteri sudah pastinya tidak perlu melantik Tan Sri Dr Jemilah Mahmood sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai kesihatan awam sekiranya tidak memandang serius soal kesejahteraan rakyat ini. 

Tidak perlu politikkan isu proklamasi darurat ini sebaliknya mari kita bersama-sama berganding bahu menghadapi saat-saat getir ini. #kitajagakita.