Oleh: Dr. Jikat Binol Darimbang
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan bahawa perjuangan dan dasar perjuangannya sentiasa konsisten serta selari dengan kerangka Perlembagaan Negeri Sabah dan Perlembagaan Persekutuan.
Penegasan ini disampaikan oleh Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam, ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Tahunan PBS Ke-40 yang berlangsung di Dewan KDCA, dan dihadiri hampir 1,000 perwakilan serta pemerhati dari seluruh Sabah.
Menurut beliau, keselarasan ini bukan sahaja mencerminkan kematangan politik PBS tetapi turut menggambarkan komitmen parti dalam memastikan kestabilan, keharmonian serta kesinambungan pentadbiran yang berlandaskan undang-undang tertinggi negara.
“Perjuangan PBS tidak bercanggah, malah berjalan seiring dengan roh Perlembagaan Negeri Sabah dan Perlembagaan Persekutuan. Ia sekali gus membuktikan bahawa perjuangan kita adalah sah dari sudut perundangan, bermaruah dan bertanggungjawab kepada rakyat Sabah,” tegas beliau.
PBS Buktikan Keupayaan Dalam GRS, Sumbang Kemenangan Penting
Dalam konteks kerjasama politik, PBS menegaskan bahawa keputusan terus bekerjasama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), termasuk parti-parti rakan dari Semenanjung, adalah satu langkah strategik demi menjamin kestabilan politik serta keharmonian pentadbiran negeri.
Keputusan ini seiring dengan prinsip “Rumah Kita, Kita Jaga”, namun pada masa yang sama menghormati keperluan membina kerjasama bersepadu demi kepentingan Sabah secara keseluruhannya.
Selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri Ke-17 diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PBS berjaya memenangi 7 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 15 kerusi yang ditandingi, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada pembentukan kerajaan negeri Sabah oleh GRS bagi penggal 2025–2030.
Tepis Jangkaan Analisis Politik – PBS Buktikan Ketahanan dan Sokongan Rakyat
Sebelum PRN-17, beberapa penganalisis politik menjangkakan PBS hanya mampu memenangi sekitar dua kerusi dan dijangka tenggelam dalam arus persaingan politik Sabah.
Namun realiti menunjukkan sebaliknya apabila PBS muncul sebagai parti kedua terbesar dalam GRS selepas Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) yang memenangi 22 kerusi.
“Ramalan bahawa PBS akan ‘lenyap’ ternyata meleset. Kejayaan memenangi 7 daripada 15 kerusi membuktikan sokongan rakyat masih kukuh terhadap PBS, malah keyakinan terhadap perjuangan kita semakin meningkat,” ujar Dr Joachim.
Kejayaan itu menzahirkan bahawa PBS masih relevan, berwibawa dan terus memainkan peranan penting dalam landskap politik Sabah. Ia bukan sekadar kemenangan politik, tetapi manifestasi kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan matang, berpandangan jauh dan berteraskan Perlembagaan.
