Persatuan Tik Tokes sambut baik pelantikan Mustapha Sakmud sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak – Aziz Bilin

KOTA BELUD: Persatuan Tik Tokes Sabah menyambut baik pelantikan Ketua PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

Presiden persatuan itu, Abdul Aziz Haji Bilin berkata pelantikan Mustapha adalah satu perkembangan baik dan diyakini mampu menjalankan tugas di kementerian itu, yang yang disifatkan sebagai cukup mencabar terutama isu-isu yang membabitkan kepentingan kedua-dua negeri itu, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau juga menyifatkan pelantikan itu sebagai tepat pada masanya dan wajar disokong oleh semua pihak, khususnya dalam mengukuhkan hubungan baik antara wilayah semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Kami di persatuan Tik Tokes Sabah yakin Datuk Mustapha mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini seperti yang diharapkan oleh rakyat di negeri ini.

“Kita harap kerajaan Sabah dapat bekerjasama erat bersama Mustafa untuk meneruskan tuntutan berkaitan hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menyelesaikan dengan baik isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah,” katanya.

Aziz yang juga Ketua Penerangan PKR Tempasuk berkata ini penting kerana isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah telah menjadi bahan kempen utama oleh parti-parti lokal untuk meraih sokongan rakyat dalam PRU Sabah baru-baru ini.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles