Ishak seru penyatuan semula Pasca PRU Sabah17, fokus kesinambungan pembangunan demi rakyat Bingkor

BINGKOR : Ibarat ‘Biduk Lalu, Kiambang Bertaut’, inilah masanya setiap dari ahli-ahli parti mahupun penyokong-penyokong semasa Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 lalu, bersatu kembali mengembleng tenaga secara bersama seperti sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Bingkor, Datuk Mohd Ishak Datuk Ayub berkata, ianya penting dalam usaha menyatu padukan kembali agar kesinambungan pembangunan dapat diteruskan.

“Musim Pilihan Raya sudah berlalu dan kita tidak mampu menolak bahawa terdapatnya perpecahan kecil berlaku kerana mengikut haluan calon masing-masing.

Kita seharusnya kembali berganding bahu dan melupakan persaingan yang lepas demi keutamaan rakyat di kawasan Bingkor,” jelasnya ketika ditemui di Sidang DUN Belanjawan Sabah 2026 yang berlangsung di hari kedua hari ini.

Ishak yang juga merupakan Pembantu Menteri Kewangan Sabah itu berkata, pembangunan dan kemajuan Bingkor bukan sahaja terletak di bahu Wakil Rakyat, tetapi juga atas penyertaan semua lapisan masyarakat.

“Bingkor masih perlukan sentuhan pembangunan dan memajukan kawasan ini seharusnya lebih baik lagi di masa hadapan.

Semua ini untuk rakyat dan masih banyak lagi yang perlu kita lakukan demi menjadikan Bingkor terus membangun dan Maju,” katanya lagi.

Bercakap mengenai Belanjawan Sabah 2026, beliau berpendapat bahawa Belanjawan Sabah kali ini bukan sekadar angka tetapi juga lebih kepada bersifat mementingkan kesejahteraan rakyat jelata.

Menurutnya, Belanjawan Sabah menyamaratakan pembangunan dari pelbagai aspek.

“Belanjawan berjumlah RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil RM6.430 bilion itu bukan sahaja merekodkan lebihan RM28 juta, malah mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kestabilan fiskal negeri terus terpelihara,” jelasnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles