Masa Untuk kerajaan Sabah tunai janji – Salleh

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah kini memikul amanah dan tanggungjawab berat untuk menunaikan janji-janji yang ditaburkan kepada rakyat.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata selepas kabinet negeri dan pembantu-pembantu menteri telah dilantik maka sekarang masanya untuk bekerja demi Sabah.

“Rakyat menunggu hasil. Janji yang dibuat mesti ditunaikan dengan tindakan yang jelas.

“Cara bekerja mesti ikut kehendak rakyat — turun padang, dengar masalah sebenar, dan bertindak dengan cepat,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Salleh berkata pelaksanaan perlu dipercepatkan selain mengurangkan kerenah birokrasi, sekali gus memastikan  tindakan sampai kepada rakyat.

Beliau berkata tuntutan 40 peratus juga mesti diselesaikan berdasarkan keputusan mahkamah. 

“Ini tanggungjawab undang-undang yang perlu dihormati,” katanya.

“Keutamaan ialah selesaikan keperluan asas rakyat, percepat projek tertangguh, dan pastikan bantuan benar-benar dirasai.

“Rakyat perlu bekerjasama tanpa mengira fahaman politik. Demokrasi menuntut kita hormati keputusan rakyat dan tinggalkan sengketa lama,” katanya.

Menurut Salleh, ukuran sebenar ialah hasil, bukan janji. 

“Rakyat mahu melihat perubahan dalam kehidupan seharian.

“Dengan kerja yang ikhlas dan fokus kepada rakyat, Sabah boleh terus maju,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles