KOTA KINABALU: Beberapa jam selepas melapor diri bertugas sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar turun padang meninjau Kompleks Perikanan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA), berdekatan pasar besar di sini pada malam Rabu.
Beljau diiringi Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Leonard Stephen Poyong dan pegawai kanan beberapa agensi dan syarikat di bawah kementerian itu.
“Kita hari pertama bertugas di kementerian, saya sudah turun padang bersama SUT.
“Malam ini kini meninjau operasi pendaratan ikan dan berdasarkan maklum balas daripada para pengusaha kapal dan peniaga, semuanya berada dalam keadaan baik,” katanya dalam rakaman sesi lawatan yang dimuatnaik di Facebooknya.
Sehubungan itu, Jamawi menzahirkan ucapan terima kasih kepada SAFMA yang telah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pengusaha kapal dan pemborong.
“Inilah yang kita mahu, operasi dan urusan dari peringkat bawah sehingga di atas berada dalam keadaan yang baik,” katanya.
Beliau juga gembira ramai anak muda yang terlibat dengan perniagaan yang berkaitan aktiviti perikanan.
