KOTA BELUD: Calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan memberitahu bahawa fokus beliau sekiranya kekal menjadi wakil rakyat bagi DUN itu adalah untuk meneruskan semua usaha yang sudah beliau mulakan sejak lima tahun semasa menjadi ADUN Pintasan.
Katanya, keputusan beliau untuk bertanding atas tiket bebas selepas nama beliau tidak dicalonkan sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga adalah demi untuk memperjuangkan usaha-usaha yang beliau sudah mulakan.
“Fokus perjuangan saya ringkas, saya hanya mahu teruskan semua yang sudah saya mulakan dan usahakan di Pintasan, untuk semua kampung-kampung dan semua komuniti secara keseluruhan, meliputi aspek pengembangan sosial, pemerkasaan ekonomi dan pelancongan, pengurusan kebajikan, serta pembangunan belia.
“Saya tidak mahu usaha yang sudah saya mulakan, apa yang sudah saya rancang dan buat di semua kampung, terhenti atau tergantung, cuma kerana saya bukan lagi menjadi wakil rakyat mereka di Pintasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Fairuz, beliau akan meneruskan usaha menaiktaraf rumah ibadat termasuk surau, masjid dan gereja serta mewujudkan Pusat Kebudayaan Irranun.
Fairuz juga memberitahu bahawa beliau turut bercadang untuk meneruskan usaha membina bandar baru Pintasan.
“Kita mahu bandar baru Pintasan ini wujud seperti sebuah daerah kecil, yang mana di sini akan adanya pusat komersial yang kita rancang iaitu Pintasan Square, dan kita harap dengan usaha ini, kelak dapat membantu aktiviti peniaga tempatan termasuk kraftangan serta pertukangan.
“Saya mahu memperkasa ekonomi peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) di sini khasnya yang terlibat dalam sektor perikanan, macam nelayan dan peniaga ikan liking.
“Selain itu, Pintasan juga ada potensi dalam sektor pelancongan dan untuk itu, kita mahu wujudkan jeti pelancongan Pintasan, sekaligus kita promosikan aktiviti pelancongan komuniti bagi membantu penduduk menjana pendapatan dengan perniagaan mereka seperti restoran, gerai jualan, perusahaan inap desa dan aktiviti komuniti,” katanya lagi.
Tambah Fairuz, aspek utama yang beliau usahakan sejak menjadi wakil rakyat bagi DUN tersebut juga adalah termasuk usaha kebajikan dan beliau ingin terus menambah segala keperluan dari aspek kebajikan penduduk Pintasan.
“Kita ada sebuah van jenazah yang digunakan oleh semua penduduk yang memerlukan dan ini yang saya rancang mahu tambah lagi kerana van jenazah sangat penting untuk komuniti.
“Bantuan kebajikan yang sudah kita berikan juga perlu ditambah, dan saya amat prihatin dengan warga emas yang harus ulang-alik ke hospital apabila ada temujanji kesihatan, maka saya bercadang mahu menyediakan dana dan memberikan mereka elaun RM100 untuk keperluan warga emas yang hadir ke hospital bagi tujuan temujanji kesihatan.
“Dan paling penting, saya perjuangkan dari awal saya menjadi ADUN hingga saat ini, dan saya akan teruskan sehingga semua penduduk Pintasan dapat hak mereka, usaha geran PANTAS, ini titik tolak perjuangan saya sebenarnya, saya mahu semua penduduk ada geran,” tegas Fairuz.
Dalam pada itu, Fairuz yang juga merupakan bekas Pembantu Menteri Belia dan Sukan turut berkongsi bahawa beliau juga merancang untuk menambah semua aktiviti dan program pembangunan belia khasnya dalam bidang keusahawanan belia dan beliawanis.
Katanya, golongan belia adalah tonggak kepada kelangsungan dan kelestarian komuniti serta perlu diberi peluang untuk membangun sebagai modal insan cemerlang yang kelak mampu menjadi pelapis kepada pembangunan serta keberhasilan dalam komuniti.
“Untuk meneruskan usaha membangun komuniti belia yang sihat, pastinya perlu infrastruktur yang sesuai dan bagus, maka saya adakan berusaha bagi mewujudkan sebuah kompleks sukan di Pintasan untuk komuniti di sini bersukan sekaligus mengamalkan gaya hidup sihat.
“Pastinya saya juga mahu memberi suntikan kepada anak-anak Pintasan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), dengan memberi insentif RM500 kepada mereka, dan untuk anak-anak Pintasan yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi, saya juga akan memberikan RM300 duit poket.
“Semoga usaha yang sudah saya mulakan di Pintasan, untuk rakyat Pintasan, dapat saya teruskan sampai semuanya berjaya direalisasikan kerana perjuangan saya adalah untuk Pintasan,” ujar beliau lagi.
