SANDAKAN: Calon Barisan Nasional (BN) N.51 Sungai Manila, Zaini Tiksun, hari ini mengumumkan lapan teras utama manifesto yang bakal menjadi agenda pembangunan menyeluruh sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Manifesto tersebut menekankan usaha memperkasa ekonomi rakyat, meningkatkan infrastruktur asas, serta menyediakan perkhidmatan yang lebih lengkap untuk kesejahteraan masyarakat di DUN Sungai Manila.
Antara teras utama manifesto beliau ialah menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan melalui program ekonomi dan latihan kemahiran.
“Merancang pembangunan pekan baharu di Sungai Batang, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Memastikan infrastruktur asas seperti air, elektrik dan jalan raya disiapkan secara terancang serta berkualiti,” katanya.
Beliau berkata Merealisasikan pembinaan klinik kesihatan yang lebih lengkap di DUN Sungai Manila demi akses kesihatan yang lebih baik.
“Membangunkan lebih banyak pusat komersial untuk menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
“Menyediakan pelbagai fasiliti sokongan masyarakat, termasuk ruang aktiviti komuniti dan belia.
“Memperbanyakkan program kemahiran untuk anak-anak muda dalam pelbagai bidang bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.
“Memastikan keharmonian dan keselamatan masyarakat terus terpelihara melalui penguatkuasaan dan kerjasama komuniti,” katanya.
Menurut Zaini, manifesto ini digubal hasil maklum balas masyarakat yang mahukan kesinambungan pembangunan dan penyelesaian masalah asas secara menyeluruh.
“Ini komitmen saya untuk memastikan DUN N.51 Sungai Manila terus membangun dengan lebih tersusun dan mampan. Saya mohon sokongan rakyat untuk melaksanakan agenda ini,” katanya.
