PENAMPANG: Masyarakat sivil, petani dan jaringan Orang Asal Sabah menggesa kerajaan untuk tidak menyertai kerangka antarabangsa yang mahukan hak monopoli syarikat pembiak baka varieti komersial ke atas benih dan varieti tanaman.
Jika menyertainya juga, tindakan itu akan menjejaskan lebih 40,000 petani di seluruh Sabah yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman seperti padi, sayuran, buah-buahan, rempah ratus, herba dan banyak lagi.
Mereka tidak akan mampu lagi untuk menyimpan, berkongsi, bertukar dan menjual benih sesama sendiri. Malah mereka akan disekat dengan teruk dan boleh disaman kerana berkongsi dan menjual benih yang disimpan di ladang.
Pengarah Pacos Trust Anne Lasimbang berkata, jika Kerajaan menyertai inisiatif antarabangsa itu ia akan mengehadkan hak-hak petani di Sabah yang selama ini menyimpan, berkongsi dan menggunakan benih sendiri sebagai amalan tradisi.
Mereka bimbang dengan tindakan yang bakal diambil kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang sedang mencadangkan untuk meminda Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (PNPV 2004) bagi menyesuaikan undang-undang negara dengan Konvensyen UPOV 1991 (International Union for the Protection of New Varieties of Plants).
“UPOV 1991 ialah satu kerangka antarabangsa yang mengutamakan hak monopoli syarikat pembiak baka varieti komersial ke atas benih dan varieti tanaman yang mengehadkan hak-hak petani yang selama ini menyimpan, berkongsi dan menggunakan benih sendiri sebagai amalan tradisi.
Pindaan ini katanya, sudah dihantar ke sekretariat UPOV di Geneva untuk semakan tanpa perbincangan awam telus dan bercanggah dengan semangat kedaulatan undang-undang negara dan hak rakyat dalam menentukan dasar makanan sendiri.
Kata Anne, petani dan masyarakat orang asal di negeri ini menolak UPOV 1991 kerana ia memberikan banyak implikasi negatif kepada mereka jika Malaysia menyertainya.
Menurutnya jika sudah diaktifkan petani dan komuniti Orang Asal boleh disaman di bawah undang-undang apabila menyimpan, menggunakan, berkongsi dan menjual benih dari ladang sendiri.
“Harga benih akan meningkat, sekaligus meningkatkan harga makanan. Manakala biodiversiti tempatan akan merosot kerana penekanan UPOV pada varieti seragam.
“Monopoli korporat akan menguasai benih yang mana ia adalah asas kepada seluruh sistem makanan kita. Risiko berlakunya biopiracy terhadap benih tradisional dan sumber genetik komuniti tempatan adalah banyak.
“Apabila sudah dilaksanakan akses rakyat kepada makanan yang sihat, murah dan bermakna secara budaya akan semakin sempit,” katanya menambah bahawa ketika ini Akta PNPV 2004 yang sedia ada mempunyai ciri sui generis (tersendiri dan unik) yang lebih seimbang.
Akta ketika ini memberi ruang kepada petani untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih dalam skala bukan komersial.
Perisytiharan sumber genetik dan keizinan komuniti adalah untuk mengelak biopiracy.
Kerajaan juga boleh mengawal harga dan bekalan varieti baru jika perlu dan kepentingan awam diutamakan dalam kelulusan varieti tanaman. Pindaan UPOV akan memadam semua ciri perlindungan ini.
“Kami mahu menyatakan pendirian bersama petani, masyarakat Orang Asal, pengguna dan CSO dengan menolak UPOV dan melancarkan petisyen dan mobilisasi nasional “Stop UPOV Now”.
“Kami sekali lagi ingin menyeru Kerajaan Malaysia untuk menghentikan proses pindaan Akta PNPV 2004 sebaliknya mengadakan konsultasi telus bersama petani, masyarakat Orang Asal dan rakyat untuk memperkukuh sistem benih rakyat dan agroekologi,” katanya.
Menurutnya, benih adalah asas kehidupan. Tanpa benih di tangan rakyat maka tiadalah kedaulatan makanan. Makanan bukan komoditi hanya tetapi hak manusia yang perlu dilindungi.
“Petani bukan penjenayah. Amalan simpan dan berkongsi benih adalah hak tradisi,” katanya menambah bahawa mereka tidak menolak inovasi, tetapi inovasi tidak boleh menindas rakyat dan warisan benih kita,” jelasnya.
Dalam hal ini mereka menyeru semua rakyat di negeri ini terutama masyarakat orang asal yang kebanyakannya adalah petani supaya menandatangani petisyen ‘STOP UPOV NOW.’
“Marilah sertai gerakan mempertahankan benih dan kedaulatan makanan. Hentikan penyertaan Malaysia ke dalam UPOV Sekarang supaya kita dapat melindungi benih tanaman makanan kita dan masa depan kita,” katanya.
