PENAMPANG: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Moyog mempunyai pendekatan berbeza dalam kempennya untuk meraih sokongan daripada lebih 30,000 pengundi berdaftar bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Moyog.
Di kala 11 pesaingnya daripada pelbagai parti politik yang akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-17 pada akhir bulan ini dengan mengadakan ceramah, calon KDM Moyog Ts Mckery Victor Ninin lebih selesa bertemu dari rumah ke rumah pengundi.
“Sedikit Pencerahan daripada saya buat mereka yang bertanya kenapa KDM Moyog belum mengadakan ceramah di setiap kampung.
“Sebenarnya, sejak beberapa minggu ini kami lebih banyak turun ke lapangan untuk menziarahi keluarga yang sedang susah, membantu mangsa bencana, menyantuni warga tua dan mendengar keluhan mereka dari rumah ke rumah,” katanya semalam.
Menurut Mckery, ceramah boleh ditangguhkan tetapi air mata keluarga yang dalam kesusahan tidak boleh menunggu.
“Di saat rakyat memerlukan tangan, saya tidak sampai hati untuk hanya membawa mikrofon. Biarlah saya membawa penyapu untuk membersihkan rumah mereka. Biarlah saya membawa tenaga untuk mengangkat barang-barang mereka,” katanya menjelaskan bahawa dalam masa beberapa hari sejak kempen bermula, mereka lebih suka turun di lapangan dan bekerja bersama pengundi.
Semalam Mckery bersama jentera KDM dan kakitangan Berjaya Hotel mengadakan gotong royong membersihkan rumah Oliver Golingai, salah seorang mangsa kejadian tanah runtuh yang teruk di Kg Kolopis dalam bencana terburuk berlaku daerah ini dua bulan yang lalu.
Mereka membersihkan lumpur setebal dua kaki yang masih berada dalam rumah Oliver menggunakan jet air, cangkul dan apa sahaja peralatan yang boleh mengeluarkan lumpur warna kuning itu.
Kata jurutera yang pertama kali bertanding ini, mendengar keluhan dan kisah hidup mereka adalah cara untuk mendekati dan memahahi masalah mereka. Beliau mahu mendengar kisah hidup mereka.
Tambahnya erti sebenar sebuah kempen adalah berada di sisi rakyat ketika mereka paling memerlukan dan bukan hanya ketika lampu sorot terpasang dan orang ramai berkumpul mendengar apa yang dikatakan.
Dengan cara itu katanya, pengundi akan lebih percaya kepada pemimpin yang datang kepada mereka.
“Ceramah besar mungkin meriah tetapi sentuhan kasih memberi makna yang lebih dalam dan lebih kekal. Percayalah, apabila tiba masanya, program turun padang dan sesi penerangan dari rumah ke rumah akan tetap dijalankan.
“Sebagai seorang pemimpin, saya percaya bahawa tindakan dan kerja nyata lebih bermakna daripada sekadar berceramah.
“Kehadiran kami hari ini (gotong royong) adalah tanda solidariti, empati dan komitmen untuk sentiasa berada bersama rakyat saat mereka memerlukan.
“Semoga bantuan kecil ini membawa sedikit kelegaan buat keluarga saudara Oliver dan semoga mereka terus kuat menghadapi ujian ini,” katanya.
Melihat kepada bencana alam seperti banjir dan tanah yang sering berlaku di Moyog, salah satu daripada lima manifesto pilihan raya KDM Moyog adalah menubuhkan Skuad Relawan Bencana Moyog bagi menghadapi banjir, tanah runtuh dan kecemasan.
Kata Mckery sesiapa sahaja yang terkesan dengan bencana itu akan dibantu setakat yang mampu dan antara pengisian penubuhan skuad relawan itu adalah sering mengunjungi mangsa bencana.
“Saya rasa skuad relawan ini belum ada di Moyog dan selepas berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh baru-baru ini, kami dapati masalah perhubungan berlaku kerana kurangnya koordinasi di antara penduduk kampung dengan barisan keselamatan hadapan.
“Skuad ini akan membantu menggerakkan sukarelawan ke tempat dilanda bencana dengan serta-merta sebelum ketibaan pihak keselamatan seperti polis dan bomba. Kita belajar daripada kelemahan masa lalu,” jelasnya ketika melancarkan manifesto itu pada Sabtu lalu.
Mckery akan bersaing dengan 11 calon di mana pesaing yang dilihat paling kuat adalah calonl UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin, Terrence Siambun (Warisan) dan Joe Suleiman (Star).
Kesemua mereka sudah berpengalaman dan pernah dua kecuali Joe pernah menjadi wakil rakyat Moyog.
