SANDAKAN : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa, menzahirkan penghargaan kepada pengamal media atas peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum DUN Sabah ke-17.
“Saya amat menghormati media kerana peranan mereka amat penting dalam kehidupan kita hari ini. Bila kita mahu tahu berita terkini, khususnya golongan muda, kita pasti merujuk kepada maklumat daripada media,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan media tradisional, termasuk surat khabar, terutamanya bagi pembaca berusia yang masih bergantung kepada medium tersebut untuk mendapat berita yang sahih.
Menurutnya, walaupun media digital menawarkan capaian pantas dan liputan meluas, ia tetap membawa risiko penyebaran berita palsu, terutama dalam era kecerdasan buatan (AI) yang mampu memanipulasi visual dan naratif.
“Media sekarang memang hebat kerana cepat dan luas liputannya. Tetapi kelemahannya adalah ‘fake news’. Dengan AI, kita pun tidak tahu apa yang benar atau tidak,” jelasnya.
Hazem berkata, media arus perdana memainkan peranan penting dalam memberikan maklumat sahih dan dipercayai rakyat.
Beliau turut menyeru agar media membantu memastikan rekod pencapaian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) difahami oleh masyarakat, terutama golongan muda.
“Ada yang kata GRS kerajaan gagal, tapi dari sudut mana gagalnya? Banyak fitnah besar yang sebenarnya tidak berasas. Bagi saya, GRS sudah melakukan yang terbaik untuk Sabah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Menyantuni Media di Hotel Pavilion, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berharap media terus menjadi landasan penyampaian maklumat yang tepat dan berintegriti kepada rakyat, terutamanya sepanjang musim pilihan raya.
“Saya ucapkan terima kasih atas liputan yang diberikan, dan saya berdoa agar media terus berjasa kepada masyarakat Sabah dengan memberikan berita yang terbaik,” katanya.
