Calon KDM lancar manifesto ‘Kita Kiulu’ dengan 7 teras tawaran

TUARAN: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) melancarkan manifesto ‘Kita Kiulu’  yang mengandungi tujuh teras utama sebagai tawaran kepada rakyat DUN Kiulu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 29 November ini.

Tujuh teras itu adalah memperhebatkan Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Memperkasakan Industri Pertanian, Mengutamakan Pemilikan Tanah Kepada Penduduk Tempatan dan Mempercepatkan Sistem PANTAS, Memartabatkan Sukan, Meningkatkan Ekonomi, Termasuk Eko-Pelancongan, Pendidikan dan Kebajikan

dan Memartabatkan Adat dan Kebudayaan Tempatan sebagai identiti Masyarakat Kiulu.

Calon KDM Kiulu yang juga naib presiden parti itu, Gundohing Henry Saimpon berkata turut diambil perhatian ialah pembangunan mampan, holistik dan seimbang, sekali gus memastikan kepentingan rakyat Kiulu sentiasa terbela.

Beliau berkata tawaran yang dibentangkan adalah selaras dengan agenda pembangunsn KDM untuk memajukan lagi kawasan Kiulu.

“KDM yang bertanding secara solo dalam PRN ini bertekad untuk menjadikan Kiulu sebagai daerah kecil yang progresif dan sejahtera setanding dengan daerah kecil luar bandar lain di Sabah.

“Inilah visi dan misi saya untuk DUN Kiulu jika dipilih sebagai wakil rakyat dalam PRN ke-17,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai bersama penduduk Kampung Kelawat, Jalan Ranau pada Ahad.

Turut hadir Setiausaha Agung KDM Gundohing Willie Jude.

Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan, Willie menyeru pengundi Kiulu supaya bersatu (Misompuru) dalam parti lokal KDM dalam usaha menawan kerusi DUN Kiulu yang sebelum ini merupakan kubu kuat PBS (kini menganggotai GRS dan bekerja sama dengan parti semenanjung Pakatan Harapan).

“Saya percaya jika kali ini penyokong-penyokong blok pembangkang tempatan bersatu dalam KDM, kita boleh melakukan kejutan di DUN Kiulu.

“Sebaiknya kita elakkan undi blok pembangkang pecah, terutama dalam saingan 8 penjuru. Kalau bukan sekarang bila lagi? Kata orang bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”, katanya.

Pada majlis itu, lebih 20 penduduk Kelawat menyertai KDM Kiulu.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles