Oleh: John T.
TAMBUNAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Dato’ Victor P. Paut bertekad menjadikan Tambunan sebagai daerah lestari, maju dan sejahtera dengan pembangunan seimbang antara ekonomi, sosial dan kebudayaan berteraskan nilai komuniti, warisan dan iniovasi.
“Ini antara visi saya jika diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat N.39 Tambunan selepas pilihan raya Negeri ke-17 (PRN17) 29 November ini,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon bagi kerusi N.39 DUN Tambunan, disini pada Sabtu.
Mengenai misinya, Victor berkata, beliau akan memperkukuhkan ekonomi masyarakat melalui perusahan tani moden, keusahaswanan sosial dan komuniti pelancongan.
Beliau juga akan memperkasakan masyarakat melalui pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan belia dan wanita. Memelihara dan mempromosi identiti kebudayaan Dusun Tambunan sebagai warisan kebangaan negeri Sabah.
Disamping membangun dan menaik taraf infrastruktur dan teknologi yang inklusif bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Victor berkata, beliau juga akan memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat antaranya menyediakan bayaran daftar pesakit luar hospital Tambunan secara percuma.
“Saya juga akan menyediakan sumbangan konopi ke setiap kampung untuk kegunaan kebajikan, pemasangan lampu solar di setiap kampung, terutama kawasan yang gelap.
“Mewujudkan sistem aduan digital untuk setiap aduan penduduk direkod dan diselesaikan dengan pantas, sumbangan kerusi ke semua kampung, rumah ibadat dan sekolah yang memerlukan, pembiayaan yuran kursus pra perkahwinan percuma kepada semua penduduk Tambunan, sama ada yang beragama kristian atau Islam serta menubuhkan program Tambunan peduli (pusat penyaluran bantuan kebajikan segera),” katanya.
Beliau memgucapkan terima kasih kepada penyokong parti yang hadir memberi sokongan moral kepadanya. “Ini adalah pertama kali saya bertanding dalam pilihan raya dan berharap akan mendapat sokongan padu daripada semua penyokong GRS,” katanya.
Victor menyeru pengundi untuk keluar berama-ramai menunaikan tamggungjawab mengundi pada 29 November ini untuk sama-sama membuat perubahan ke atas daerah Tambunan.
