BEAUFORT: Calon Gagasan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury berazam untuk meneruskan visi dan misi membangunkan kawasan Kuala Penyu sekiranya diberi mandat sekali lagi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 kali ini.
Katanya, visi dan misi itu berpaksikan kepada slogan `Aspirasi Menuju Transformasi’ yang diperkenalkannya sejak menjadi Wakil Rakyat pada tahun 2013.
Beliau berkata kerajaan sudah merancang agenda pembangunan menerusi Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan daerah kecil Menumbok yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor, baru-baru ini.
“Pelan pembangunan ini adalah komitmen jangka panjang kita membawa kemajuan bagi kawasan ini,” katanya selepas mengemukakan kertas pencalonan bagi kerusi DUN Kuala Penyu di sini hari ini.
Dalam pilihan raya kali ini, Limus dicabar lima calon lain, iaitu ini Ginsik @ Annie Ginsik (PIS), Dr Monih Epin (WARISAN), Datuk Awang Aslee Lakat (BN-UMNO), Walther Philip Michael (STARSABAH) dan Jonehtan Matheus (PKS).
Kawasan DUN Kuala Penyu mempunyai 22,288 pengundi berdaftar. Dalam pilihan raya tahun 2020, Limus memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,273 undi)
Dalam pada itu, Limus mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Hajiji selaku Ketua Menteri dan Pengerusi GRS kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk mempertahankan kerusi DUN Kuala Penyu.
Katanya, pencalonan beliau mempertahankan kerusi itu adalah satu amanah dan tanggungjawab yang akan digalas dengan sebaik mungkin.
Beliau turut menghargai sokongan rakyat Kuala Penyu kepada beliau selama ini dan berharap ia diteruskan demi masa depan yang lebih baik.
“Saya komited untuk meneruskan visi dan misi memajukan daerah ini dalam semua aspek termasuk prasarana, pendidikan, pelancongan dan sebagainya,” katanya.
