SANDAKAN – Henley Liew Yun Ye, calon Parti Maju Sabah (SAPP) bagi kerusi DUN Tanjong Papat, menyeru perpaduan segera dalam kalangan parti politik tempatan bagi memastikan agenda dan hak Sabah dapat diperjuangkan dengan berkesan.
Beliau berkata, walaupun terdapatnya keinginan jelas rakyat terhadap kepimpinan tempatan, perpecahan dan perbezaan ideologi melemahkan suara kolektif negeri ini.
“Untuk memajukan agenda Sabah, kita mesti bersatu dalam perjuangan hak dan pembangunan negeri,” tegas Liew selepas proses penamaan calon pada Sabtu.
Liew juga menekankan kepentingan memilih pemimpin yang berkebolehan tinggi, sambil menyatakan keyakinannya bahawa kelayakan dan pengalamannya sesuai untuk mewakili Sandakan.
Beliau membangkitkan satu isu kritikal, iaitu kegagalan sistematik dalam mengurus peruntukan pembangunan persekutuan.
“Sabah menerima peruntukan tahunan yang besar, namun sebahagian besarnya sering dipulangkan kerana projek tidak dilaksanakan tepat pada waktunya,” jelasnya.
Sebagai penyelesaian, Liew mencadangkan – Pelaksanaan perubahan dasar fiscal dan Kawalan lebih besar ke atas dana negeri.
Dana persekutuan yang tidak digunakan diletakkan dalam dana amanah negeri untuk memastikannya dimanfaatkan sepenuhnya bagi pembangunan Sabah.
Kerusi DUN Tanjong Papat menyaksikan pertandingan lapan penjuru. Henley Liew (SAPP) akan berdepan tujuh calon lain:
Tang Szu Ching (PH-DAP), Mohd Yunus Apil (Parti Perjuangan Rakyat), Thein Ching Qiang (Warisan), Datuk Poon Ming Fung @ Frankie (KDM), Suhaimi Ramli (Parti Kebangsaan Sabah), Elvis Koa Wei Yang (PN) dan Junaidi Berahim (Parti Impian Sabah)
