KOTA KINABALU: Persaingan di DUN Usukan wajar berlangsung secara matang dan beradab, sekaligus memberi ruang kepada rakyat menilai dengan tenang agar selepas pilihan raya, keharmonian dan perpaduan di Usukan terus terjaga.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pilihan raya negeri kali ini menyaksikan lebih daripada tiga calon di Usukan, namun tumpuan utama tetap pada calon Warisan, GRS dan BN.
“Setiap calon mempunyai rekod dan pencapaian tersendiri untuk dinilai rakyat.
“Warisan mencalonkan Munirah, GRS mencalonkan Japlin, manakala BN menampilkan saya.
“Ini adalah pilihan raya umum negeri, bukan pilihan raya kecil — maka pertandingan ini mewakili persaingan dasar dan hala tuju parti untuk masa depan Sabah,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Menurut Salleh, ketiga-tiga parti mempunyai pengalaman memerintah dan rekod pentadbiran yang boleh dinilai.
“Pengundi Usukan berpeluang melihat bukan hanya calon, tetapi kemampuan parti-parti ini membawa Sabah ke hadapan.
“Penyokong tegar setiap parti memang kukuh pendiriannya, namun pengundi di tengah yang menilai secara objektif akan menjadi penentu keputusan,” katanya.