KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Bandau, Datuk Redonah Bahanda, menyifatkan perbezaan fahaman politik dalam keluarganya sebagai lambang kematangan dan keharmonian berpolitik, bukan sebab perpecahan.
Menurut Timbalan Ketua Wanita GRS itu, hubungan kekeluargaan perlu kekal erat walaupun berbeza parti.
“Silaturahim itu lebih utama. Politik boleh berbeza, tapi kasih keluarga jangan putus,” katanya selepas Majlis Pengumuman Calon GRS di sini.
Dua abangnya, Datuk Wetrom Bahanda dari parti KDM dan Verdon Bahanda, turut dijangka bertanding di kawasan lain pada PRN Sabah ke-17 ini.
Redonah turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor atas kepercayaan memberi ruang kepada lebih ramai wanita mewakili GRS kali ini.
“Ini bukti GRS menghargai suara wanita dan memberi peluang untuk kami terus berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.
PRN Sabah ke-17 akan diadakan pada 29 November 2025, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini.
