Hentikan Politik Menakut-nakutkan: Warisan Tidak Bersekongkol Dengan UMNO

TUARAN: Ketua Bahagian Parti Warisan Tuaran, Datuk Aliasgar Basri, menegaskan bahawa dakwaan bekas ADUN J. Ligunjang kononnya wujud kerjasama antara Warisan dan UMNO dalam pilihan raya negeri akan datang adalah fitnah dan cubaan terdesak untuk menakut-nakutkan pengundi KDM.

Katanya, Warisan tidak mempunyai sebarang pakatan atau kerjasama dengan UMNO, malah parti itu sudah berulang kali menegaskan pendiriannya untuk berdiri sebagai parti tempatan Sabah yang bebas dan berprinsip.

“Kerusi Senallang dan Sulabayan yang disebut oleh James sebenarnya ditandingi oleh calon Pakatan Harapan (PH) — bukan Warisan. Semua orang tahu PH adalah rakan sekutu UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, bukan Warisan,” tegas Aliasgar.

Beliau berkata, J. Ligunjang sengaja memutarbelit fakta untuk menanam persepsi palsu bahawa Warisan bersekongkol dengan UMNO, sedangkan hakikatnya Warisan adalah pesaing utama kepada kedua-dua blok Persekutuan – GRS dan Kerajaan Perpaduan (PH-UMNO).

 “Taktik ini bukan baru. Bila mereka kehabisan isu dan gagal menunjukkan pencapaian, mereka cipta ketakutan kononnya undi Warisan sama seperti undi UMNO. Ini tidak benar sama sekali. Warisan menolak politik tunduk kepada Malaya,” katanya lagi.

Aliasgar menegaskan bahawa Warisan konsisten memperjuangkan hak Sabah, termasuk tuntutan 40% hasil bersih persekutuan, pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan agenda memperkasakan ekonomi serta peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

 “Warisan bukan parti yang bergantung kepada Kuala Lumpur. Jika selepas pilihan raya ada kerjasama politik, ia hanya akan dibuat dengan parti-parti tempatan Sabah yang mempunyai misi sama — membina Sabah yang benar-benar berdaulat dan makmur,” katanya.

Beliau menyeru rakyat, khususnya pengundi KDM, agar tidak mudah termakan propaganda pihak lawan yang semakin terdesak mengekalkan kuasa.

“Rakyat Sabah sudah celik politik. Mereka tahu siapa yang benar-benar berjuang untuk Sabah, dan siapa yang hanya pandai menakut-nakutkan rakyat demi kepentingan sendiri,” ujarnya.

“Warisan berdiri teguh di atas prinsip Sabah untuk Sabah. Bukan Sabah untuk Kuala Lumpur.” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles