Oleh Profesor Madya (Kehormat) Dr. Bilchar Bala, Universiti Malaysia Sabah
KOTA KINABALU: Dalam satu temu duga lapangan bersama calon KDM N14 Tamparuli, Dr. Gaim James Lunkapis menyatakan bahawa:
“Kita tidak boleh lagi memberi ruang kepada mana-mana parti yang berpaut kepada kuasa luar. Sabah mesti dipimpin oleh anak jati Sabah yang faham denyut nadi rakyatnya”
Kenyataan ini mengukuhkan lagi betapa pentingnya pengundi Tamparuli dan seluruh Sabah memilih parti lokal yang benar-benar berdiri atas dasar Sabah untuk Sabah – bukan bertopeng tempatan tetapi bertali arus dengan Malaya.
Sudah tiba masanya kita bangkit. Masa depan Sabah tidak boleh lagi digantung pada ihsan parti-parti berpusat di Semenanjung. Kita tidak boleh terus berharap pada janji yang ditangguh, pada suara yang tidak pernah benar-benar mendengar denyut nadi rakyat di bumi kita ini.
Slogan “Sabah untuk Sabahan” bukan sekadar laungan emosi. Ia adalah panggilan kepada kebangkitan kesedaran politik, bahawa autonomi negeri ini bukan pilihan, tetapi hak, dijamin oleh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Hak ini bukan hadiah. Ia adalah perjanjian yang dimeterai dan menjadi sebahagian dari undang-undang tetapi belum ditunaikan sepenuhnya.
Autonomi Sabah bermakna kuasa menentukan masa depan kita sendiri. Kuasa untuk mengurus hasil bumi kita. Kuasa untuk menentukan sistem pendidikan yang mencerminkan budaya dan bahasa anak-anak kita.
Kuasa untuk menjaga sempadan dan keselamatan negeri ini. Kuasa untuk membina ekonomi yang adil dan mampan, dari Pitas ke Kalabakan, dari Nabawan ke Kudat.
Namun realitinya, Sabah masih kekal sebagai antara negeri termiskin di Malaysia, walaupun kaya dengan minyak, gas, dan biodiversiti. Pada suku pertama 2025, kadar pengangguran belia Sabah mencecah 6.7%, iaitu yang tertinggi di negara ini.
Hal ini bukan kerana rakyat kita malas. Sebaliknya kerana kuasa membuat keputusan masih terlalu jauh dari tanah ini.
Ada yang berkata, “Kerajaan Persekutuan sudah belanja lebih dari hasil Sabah.” Tetapi belanja tanpa kuasa menentukan keutamaan adalah seperti memberi ikan tanpa joran. Kita tidak mahu ihsan.
Kita mahu hak. Kita mahu kuasa untuk menentukan sendiri ke mana arah pembangunan negeri ini.
Kebangkitan autonomi bukan pemisahan. Ia adalah penyempurnaan semangat persekutuan. Kita tidak menolak Malaysia. Kita menuntut agar Sabah diberi tempat yang adil dan bermaruah dalam Malaysia.
Rakyat Sabah perlu menilai semula kepimpinan yang hanya menjadi wakil kepada agenda luar. Sudah terlalu lama suara kita tenggelam di bawah arahan parti-parti berasaskan Malaya yang lebih sibuk mengejar kuasa di Kuala Lumpur daripada memperjuangkan nasib rakyat di kampung-kampung kita.
Autonomi Sabah mesti dipimpin oleh anak negeri sendiri, iaitu mereka yang lahir, membesar, dan berjuang di tanah ini. Mereka yang faham denyut nadi rakyat, bukan sekadar datang menjelang pilihan raya.
Bangkitkan autonomi bermakna bangkitkan maruah. Sabah bukan pinggiran. Sabah adalah wilayah yang layak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam Persekutuan Malaysia.
Dengan mengembalikan kuasa kepada rakyat dan kerajaan negeri, Sabah mampu membina masa depan yang lebih sejahtera, berdaya saing, dan beridentiti sendiri. Inilah perjuangan sebenar, iaitu perjuangan untuk memerdekakan minda dan mengembalikan hak yang telah lama tertangguh.
Itulah sebabnya mengapa undi kepada parti lokal tulen sangat penting. Rakyat mesti menolak parti tempatan yang berpaksikan Malaya kerana mereka hanyalah saluran untuk membawa pengaruh luar dan melemahkan kuasa autonomi Sabah dari dalam.
Bangkitlah, demi Autonomi Sabah. Bangkitlah, demi anak cucu kita. Bangkitlah, demi maruah negeri yang kita cintai ini.
