TAWAU : Nama Datuk Ruji Ubi bukan asing dalam kalangan warga pentadbiran awam negara, namun tidak ramai mengetahui bahawa beliau sebenarnya anak jati Tawau yang berasal dari Kampung Sungai Haji Matahir, Merotai.
Menurut Mohd. Zaki Harry Susanto, seorang kenalan keluarga yang juga anak tempatan Tawau, Ruji dilahirkan dan dibesarkan di kampung berkenaan sebelum berhijrah bagi melanjutkan pelajaran serta membina kerjaya dalam perkhidmatan awam.
“Arwah datuk saya juga berasal dari Kampung Sungai Haji Matahir, Merotai dan saya mengesahkan Ruji memiliki ramai kenalan serta sanak saudara yang masih menetap di kampung tersebut. Walaupun lama berkhidmat di luar negeri Sabah, Ruji tetap dikenang sebagai anak kampung yang berjaya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ruji mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah rendah dan menengah di sekitar Tawau sebelum meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi di luar Sabah. Semangatnya untuk menimba ilmu menjadi asas kepada kejayaannya menembusi perkhidmatan awam di peringkat tertinggi negara.
Catatan rekod perkhidmatan beliau menunjukkan perjalanan karier yang cemerlang, pernah menjawat pelbagai jawatan penting di dalam dan luar negeri Sabah. Antara jawatan disandang termasuk Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah serta memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Setiausaha di beberapa kementerian persekutuan seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perpaduan Negara.
Mohd. Zaki berkata, biarpun melaksanakan tanggungjawab besar di peringkat persekutuan, Ruji tidak pernah melupakan daerah kelahirannya dan turut memberi perhatian terhadap pembangunan kawasan Merotai serta Kalabakan.
“Antara sumbangan besar beliau ialah projek pembinaan Masjid Kampung Sungai Haji Matahir yang kini menjadi mercu tanda baharu di kawasan itu. Selain itu, Ruji turut membantu dalam usaha baik pulih Sekolah Kebangsaan Kalabakan,” jelasnya.
“Ruji turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Kalabakan serta memastikan projek baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kalabakan dapat direalisasikan dan kini dalam proses tender”.
Bagi penduduk setempat, Ruji bukan sahaja simbol kejayaan anak Merotai di perantauan, tetapi juga contoh anak Tawau yang tidak pernah melupakan akar asalnya walau di mana dia berada.
