KDM ambil berat keluhan rakyat kampung terpencil, kata Naib Presiden Henry Saimpon

KIULU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mengambil berat akan keluhan-keluhan rakyat, termasuk masalah kemudahan asas untuk penduduk kampung yang tinggal di kawasan terpencil, jika diberi mandat dalam PRU Negeri Sabah yang akan datang.

Naib Presiden KDM Gundohing Henry Saimpon berkata KDM sentiasa terbuka mendengar keluhan rakyat walaupun ia datang dari kelompok kecil atau penduduk dari kawasan terpencil.

“Saya berpeluang mendengar keluhan dan permasalahan rakyat di beberapa kampung terpencil di kawasan DUN Kiulu.

“Banyak permasalahan yang dibangkitkan dan antaranya ialah isu kemudahan infrastruktur dan kemudahan rumah baru atau pembaikan rumah kampung untuk golongan termiskin. Kita ambil maklum keluhan mereka dan jika KDM ditakdirkan menang 29 November depan, kita sedia bantu mereka,” katanya.

Henry yang juga calon KDM DUN Kiulu berkata demikian ketika berucap sempena Program Santai Bersama Rakyat di Kg Romokon pada Jumaat.

Menurutnya KDM Kiulu bertekad untuk memperbanyakkan program transformasi yang memberi manfaat kepada rakyat jika parti itu berjaya mengambil tampuk pemerintahaan negeri.

“Sebagai sebuah parti lokal yang bertanding dalam PRU Negeri Sabah, kita memang ada visi yang besar untuk negeri ini dan kita mempunyai perancangan yang cukup rapi,” katanya.

Henry turut menyangkal tanggapan sesetengah pihak bahawa KDM akan menjalinkan kerjasama dengan Warisan atau BN.

“Dakwaan ini tidak berasas dan hanya bertujuan mengelirukan pemikiran rakyat. Seperti yang diputuskan oleh AMT KDM, kita akan bergerak secara solo tanpa jalin kerjasama parti lain,” katanya.

Henry turut mengajak rakyat Sabah supaya bangkit untuk melakukan perubahan demi masa depan yang lebih baik.

Pada majlis itu, Henry telah menyerahkan baju dan bendera KDM kepada wakil PDM Tudan dan Kg. Romokon.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles