PRN Sabah: MP Kota Belud gesa cuti khas, tambang murah bantu pengundi Sabah di Semenanjung

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil langkah segera bagi memastikan pengundi Sabah yang berada di Semenanjung dapat menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17).

Gesaan itu susulan kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa tiada pelaksanaan undi pos bagi pengundi Sabah yang berada di luar negeri itu, sekali gus memerlukan mereka pulang ke Sabah untuk mengundi.

Menurut Isnaraissah, ketiadaan kemudahan undi pos menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh menjejaskan hak pengundi Sabah di Semenanjung untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara.

“Sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

“Saya telah menyuarakan perkara ini kepada SPR supaya rakyat Sabah yang berada di Semenanjung diberikan akses kepada proses pengundian tanpa perlu pulang ke negeri asal,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan dua cadangan utama untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

“Memberikan cuti tanpa rekod sehari sebelum hari pengundian kepada rakyat Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia bagi membolehkan mereka pulang ke Sabah untuk mengundi.

“Mengawal kadar tambang penerbangan dari Semenanjung ke Sabah melalui kerjasama Kementerian Pengangkutan, bagi memastikan ia berada pada kadar yang munasabah dan mampu ditanggung pengundi.

“Saya mohon agar kedua-dua cadangan ini diberi perhatian serius demi memastikan rakyat Sabah tidak dinafikan hak untuk mengundi serta menyuburkan amalan demokrasi negara,” katanya.

Isnaraissah berkata, langkah itu bukan sahaja menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap hak rakyat, malah mampu meningkatkan peratusan keluar mengundi dalam PRN-17.

Sumber – SNT

Related Articles

253FansLike

Latest Articles