Isu pemberian khas Sabah – Rakyat perlu nilai rekod sebenar setiap parti

Kenyataan Media Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

KOTA KINABALU: Dalam konteks politik Sabah menuju Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), rakyat perlu menilai rekod sebenar setiap parti yang pernah memegang tampuk kuasa di negeri ini. Sama ada GRS, Warisan, BN atau PH — kesemuanya pernah berada dalam kedudukan untuk menunaikan janji kepada rakyat Sabah.

Perjuangan menuntut hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pelaksanaan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan merupakan ukuran jelas sejauh mana komitmen sesebuah kerajaan dalam mempertahankan hak negeri ini.

Malangnya, kadar Pemberian Khas Sabah sebanyak RM26.7 juta tidak pernah disemak lebih 45 tahun sejak tahun 1973, di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu termasuk BN dan PH. Walaupun Parti Warisan mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2018 dengan slogan “Sabah Ubah” dan “Selamatkan Sabah”, kadar tersebut hanya dinaikkan kepada RM53.4 juta hasil keputusan kabinet Warisan bertarikh 16 Oktober 2018.

Sebaliknya, selepas kerajaan negeri bertukar pada September 2020, Kerajaan Negeri GRS di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah mengambil langkah proaktif dengan membuat rundingan semula bersama Kementerian Kewangan Malaysia. Hasilnya, kadar Pemberian Khas berjaya dinaikkan kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022, dan terus meningkat kepada RM300 juta (2023), RM306 juta (2024) serta dijangka mencecah RM600 juta pada tahun 2025.

Langkah ini membuktikan kesungguhan Kerajaan GRS dalam memperjuangkan hak Sabah selaras dengan semangat MA63, tanpa prejudis terhadap hak negeri untuk menuntut 40% hasil bersih yang dikutip di Sabah.

Sehubungan itu, rakyat wajar menilai sendiri — adakah benar slogan “Selamatkan Sabah” yang dilaungkan Warisan berjaya menyelamatkan hak negeri, atau sebaliknya Sabah kini diselamatkan oleh tindakan tegas GRS?

Berdasarkan fakta dan keputusan rasmi kabinet Warisan pada 16 Oktober 2018, dua persoalan utama timbul yang memerlukan penjelasan daripada Presiden Warisan:

1. Apakah asas kepada persetujuan kadar hanya RM53.4 juta pada masa itu?

2. Mengapa Kerajaan Negeri Warisan tidak menuntut kadar yang lebih munasabah, sedangkan ketika itu mempunyai pengaruh besar dalam Kerajaan Persekutuan?

Rakyat Sabah berhak tahu kebenaran di sebalik setiap slogan dan janji politik. GRS kekal komited untuk memperjuangkan hak negeri ini secara berprinsip dan berasaskan fakta, bukan sekadar retorik.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles